Warisan Orang Asli tonggak identiti Malaysia - Lee Lam Thye

Lam Thye berkata warisan Orang Asli mesti diiktiraf dan diperkukuh sebagai asas kepada identiti budaya, sejarah serta pemuliharaan alam sekitar. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Warisan Orang Asli mesti diiktiraf dan diperkukuh sebagai asas kepada identiti budaya, sejarah serta pemuliharaan alam sekitar, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata Orang Asli di Semenanjung Malaysia serta Orang Asal di Sabah dan Sarawak bukan sekadar komuniti minoriti, sebaliknya penjaga nilai budaya yang tidak ternilai harganya yang wujud sebelum pembentukan Malaysia moden.
"Kita tidak berkumpul hanya menyaksikan persembahan muzik dan tarian tetapi untuk menghormati sejarah, daya tahan serta semangat Orang Asli dan Orang Asal, komuniti yang telah wujud lama sebelum pembentukan Malaysia moden," katanya.
Beliau berkata bahasa, kemahiran pertukangan, muzik serta nilai budaya Orang Asli serta Orang Asal yang berteraskan keharmonian dengan alam semula jadi wajar dianggap sebagai khazanah negara tidak ternilai.
"Warisan ini bukan hanya untuk dipertontonkan sebaliknya perlu dihayati, dihormati dan diperkukuh untuk generasi akan datang," katanya.
Lam Thye juga menekankan peranan peribumi sebagai penjaga alam semula jadi sejak sekian lama dengan pengetahuan tradisional mereka menawarkan pengajaran berharga dalam aspek kelestarian, terutamanya semasa dunia menghadapi cabaran iklim dan alam sekitar.
"Semasa dunia berhadapan krisis perubahan iklim dan alam sekitar, kebijaksanaan masyarakat peribumi untuk hidup seimbang dengan alam merupakan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia," katanya.
Selain itu, Lam Thye berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana sokongan terhadap inisiatif pemeliharaan budaya dan menegaskan sokongan berterusan penting untuk melindungi warisan peribumi.
Pengerusi YKOA Dr Andre Ratos berkata festival itu menyatukan Orang Asli dan Orang Asal sebagai dua tonggak warisan negara selain mempromosikan usaha pemuliharaan pengetahuan, adat serta ekspresi kreatif masyarakat peribumi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


