Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dibuang didalam plastik bag berwarna merah di gerai kosong di tingkat 1, Terminal Bas Larkin pada Isnin kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Assisten Komisioner Shahurinain Jais berkata bayi cukup sifat dan sihat itu ditemui oleh seorang lelaki Indonesia yang juga pekerja binaan, Danu Subroto.

Katanya saksi telah menemui satu bungkusan plastik merah dan ternampak tangan bayi bergerak-gerak di luar plastik tersebut.

"Hasil permerhatian secara fizikal mendapati bayi itu dipercayai dilahirkan kurang 24 jam ketika ditemui dan tidak mengalami kecederaan.

"Ketika ditemui bersama bayi itu di dalam plastik merah adalah uri yang berdarah dibungkus dengan beberapa helai baju," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Menurut Shahurinain, bayi tersebut telah dibawa ke HSA Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, kerana meninggalkan dengan niat hendak membuang kanak-kanak yang berumur kurang daripada 12 tahun.

"Pihak Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan saspek yang terlibat agar segera menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis," katanya.