Seorang bayi perempuan berusia lima bulan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini tengah hari Selasa dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Arifin berkata bayi itu tidak sedarkan diri ketika dibawa ibu bapanya ke hospital sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata ibu bapa bayi tersebut mendakwa anak mereka tidak sedarkan diri akibat terjatuh selepas ditarik seorang lagi anak mereka yang berumur dua tahun.

Namun katanya hasil pemeriksaan pihak hospital mendapati kepala bayi tersebut bengkak serta badannya mempunyai kesan lebam.

Mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematiannya.

Pihak polis sedang menunggu laporan bedah siasat kes itu.