Skip to main content

Politik

Hishammuddin terharu dengan Zahid, sedia kembali berjuang untuk UMNO

61698301699_Hishammuddin.jpg
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis menyatakan kesediaan untuk terus berjuang dalam parti itu, khususnya bersama warga Sembrong, UMNO Johor, serta kepimpinan parti.

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Khamis menyatakan kesediaan untuk terus berjuang dalam parti itu, khususnya bersama warga Sembrong, UMNO Johor, serta kepimpinan parti.

Hishammuddin berkata, beliau secara terbuka berasa terharu, dan menyambut baik kesediaan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan parti untuk menerima kembali mereka yang telah dipecat, digantung, atau yang sudah keluar parti tanpa syarat.

Advertisement

Tambah Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, proses kemasukan kepada parti bukan sesuatu yang sukar untuk dirinya kerana beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya digantung dan tidak dimaklumkan alasan.

"Dalam tiga tahun saya digantung, saya tidak pernah menyerang parti. Apabila pimpinan telah membuat pendirian tersebut, saya rasa penting untuk saya beritahu kepada warga Sembrong dan kepimpinan UMNO Sembrong bahawa sebenarnya tidak timbul masalah langsung kepada saya untuk menerima apa yang telah dinyatakan oleh Presiden parti.

“Yang penting sekarang, saya tidak pernah lari daripada parti. Isunya ialah status saya sebagai ahli UMNO, kerana sebelum ini Majlis Tertinggi telah membuat keputusan untuk menggantung saya,” katanya lagi.

Hishammuddin, yang mula menjadi Ahli Kabinet sejak 1999 berkata, jika benar ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti dan mereka menarik balik penggantungan terhadap dirinya, beliau akan kembali terus berjuang dalam UMNO

“… lebihlebih lagi bersama-sama warga Sembrong, merapatkan barisan kita di UMNO Sembrong, merapatkan UMNO Johor, dan bersama kepimpinan parti untuk memperkasakan serta memperkukuhkan perjuangan kita dalam UMNO,” katanya lagi.

Krisis dalaman UMNO memuncak selepas Pilihan Raya Umum ke15, apabila parti menjalankan proses “pembersihan dalaman” terhadap beberapa pemimpin kanan. 

Antara yang menerima tindakan ialah Hishammuddin sendiri, yang digantung keahlian selama enam tahun bermula 27 Januari 2023.

Shahril, bekas Ketua Penerangan UMNO, digantung bersama Hishammuddin, manakala bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dipecat pada tempoh yang sama sebagai sebahagian daripada langkah tegas parti terhadap apa yang dianggap pelanggaran disiplin. 

Tindakan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan akar umbi, termasuklah UMNO Bahagian Sembrong yang berulang kali membawa usul agar penggantungan Hishammuddin ditarik balik tanpa syarat sejak 2024. 

Dalam tempoh penggantungan itu, Hishammuddin beberapa kali menjelaskan bahawa beliau tidak diberikan penjelasan jelas mengenai kesalahan spesifik yang menyebabkan dirinya digantung, selain menegaskan beliau tetap setia kepada parti dan prinsip perjuangannya.

Must Watch Video