Penganjuran bazar Ramadan dan bazar Gawai Dayak di Sarawak dibatalkan untuk edisi tahun ini.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Miri pada Ahad.

Jelasnya keputusan dicapai berdasarkan situasi semasa penularan wabak pandemik COVID-19 seterusnya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri itu terus terjamin.

“Tahun ini tidak ada bazar Ramadan begitu juga dengan bazar Gawai Dayak memandangkan keadaan semasa COVID-19 ini jadi kerajaan negeri tidak mahu ia menjejaskan masyarakat maka tahun ini tidak perlulah kita anjurkannya,” kata Abang Johari.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar peniaga-peniaga menjalankan perniagaan secara atas talian atau e-bazar.

Tambahnya para peniaga boleh manfaatkan sepenuhnya hub digital yang disediakan kerajaan negeri melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi mempelajari teknik dan menggunakan teknologi perniagaan atas talian.

“Saya sarankan agar kita tukar kaedah perniagaan kepada e-bazar Ramadan kerana syaa lebih menggalakkan penglibatan teknologi.

“Dengan mengaplikasikan perniagaan secara atas talian, kitab oleh menghantar terus barangan yang dipesan oleh pembeli,” tambahnya.

Antara lain ujarnya, penggunaan aplikasi Sarawak Pay atau mana-mana aplikasi pembayaran digital perlu dimaksimumkan agar transaksi fizikal dapat dikurangkan sekaligus putuskan rantaian COVID-19.