IPOH: Hambar dan kurang mendapat sambutan.

Itu ayat yang tepat untuk menggambarkan suasana Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di People's Park, di sini.

Bazar berkenaan bukan sahaja kurang dikunjungi orang ramai, tetapi juga tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peniaga.

Difahamkan terdapat beberapa faktor yang menyebabkan perkara tersebut berlaku, antaranya lokasi baharu, kurang promosi serta pengunjung yang lebih gemarkan bazar Ramadan dalam skala besar.

BRR di sini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak serta People's Park Sdn Bhd (Chang Jiang Coffee).

Selain itu bilangan penjaja yang berdaftar pula adalah seramai 27 orang.

Pelbagai maklum balas daripada peniaga dan pengunjung di BRR berhubung perkara itu, di mana ramai di antara mereka yang mengutarakan permasalahan sama.

Salah seorang peniaga BRR, Muhammad Nazriq Hussin, 39 tahun, mengakui sambutan pengunjung di situ agak kurang memuaskan walaupun sudah lebih seminggu berpuasa.

"Rasanya mungkin orang ramai masih tidak tahu tentang kewujudan BRR yang tawarkan harga berpatutan di sini.

"Mungkin juga untuk minggu pertama Ramadan, orang ramai berkunjung ke bazar lebih besar dahulu, selepas minggu kedua dan seterusnya baru cuba tinjau bazar lain di Ipoh.

Izzati berkata, dia agak terkilan dengan suasana bazar di tapak ini yang kurang mendapat sambutan, bagaimanapun dia faham ia merupakan asam garam dalam perniagaan. - Foto Astro AWANI

"Walaupun tapak dan lesen di sini disediakan secara percuma oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi tetap tidak dapat sambutan daripada peniaga, ramai yang tidak mahu ambil risiko berniaga di lokasi baharu.

"Kalau boleh kami mahu bazar di sini bukan hanya tahun ini sahaja, tetapi diteruskan untuk tahun berikutnya. Sebab itu penting untuk rancakkan lokasi ini, lebih-lebih lagi peniaga," katanya yang menjual stimbot bakar.

Izzati Azhar, 25 tahun, yang menjual mihun goreng, mi dan kuih muih menerusi perniagaan keluarga, turut berkongsi pandangan sama.

Katanya, dia agak terkilan dengan suasana bazar di situ yang kurang mendapat sambutan, bagaimanapun dia memahami itu merupakan asam garam dalam perniagaan.

"Sebelum ini kami berniaga di Tapah, baru-baru ini kami baru berpindah ke Ipoh. Dapat tawaran untuk berniaga di BRR.

"Sepanjang beberapa hari ini memang kurang (pengunjung). Kalau ramai pun, beberapa hari lepas, ketika pengunjung yang bertuah ditawarkan tambahan nilai e-Wallet RM20. Ia dilaksanakan di sini untuk 10 hari terpilih sahaja," katanya.

Muhammad Nazriq berkata, kalau boleh mereka mahu bazar Ramadan di tapak ini diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. - Foto Astro AWANI

Bagi salah seorang pengunjung, Raja Syedi Raja Ahmad Nasir, ini merupakan kali pertama dia berkunjung ke BRR.

"Saya dapat tahu ada juadah dengan harga Rahmah di sini, lokasinya tiada masalah tetapi pada pandangan saya mungkin perlu diuar-uarkan dengan lebih meluas kepada orang ramai sebab bila lalu dari jalan besar tidak berapa nampak bunting (gegantung) bazar Ramadan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu tersebut, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin turut mengakui perkara itu, selain menambah faktor kurang promosi dan persaingan sebagai isu utama.

Bazar Ramadan di People's Park, Ipoh, bukan sahaja kurang dikunjungi orang ramai, tetapi juga tidak mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan peniaga. - Foto Astro AWANI

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya akan sedaya upaya membantu pihak terbabit bagi merancakkan aktiviti perniagaan di situ.

"Apa yang sana nampak ia disebabkan kurangnya promosi, kerana bazar ini dianjurkan pertama kali, keduanya kerana persaingan dengan bazar lain.

"Banyak bazar skala besar di sekitar Ipoh contonya di Bulatan Amanjaya, jadi orang ramai mungkin lebih tertarik untuk ke sana. Tetapi apa pun kita akan lihat cara untuk bantu mereka (peniaga BRR)," katanya.