PUTRAJAYA: Tiada aduan mengenai kes keracunan makanan membabitkan bazar Ramadan diterima setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia merupakan petanda baik dipamerkan pengendali makanan.

“Sepanjang Ramadan, KKM belum terima sebarang aduan… strok haba itu ada, tapi kes keracunan makanan tiada.

“Ini satu petanda yang baik kerana siap siagaan itu kita sudah bermula sejak Februari lalu yang mana ada libat urus.

“Saya sebutkan tadi beberapa sesi penerangan dan latihan kita buat bersama pemilik dan pengendali makanan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, KKM sebelum ini sudah melaksanakan sebanyak 183 sesi taklimat kebersihan premis makanan dan pengendalian makanan yang selamat kepada pemilik gerai sebelum Ramadan.

Katanya, taklimat yang bermula sejak awal Februari itu melibatkan pemilik gerai daripada 70,334 gerai di 1,299 tapak bazar Ramadan yang dikenal pasti di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran ‘Kick-Off’ Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 pada Jumaat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan media berhubung penemuan telur lalat pada sup daging yang dibeli pengunjung di sebuah bazar di Melaka, Dzulkefly menegaskan bahawa KKM akan menyiasat perkara itu.

“Sebab itu penting, sebelum beli, (amal) perhati dan pilih. Dengan kata lain, kita tekankan kebersihan (makanan) sebagai menjamin kesihatan dan kualiti,” katanya.

Sementara itu, mengulas trend makan kurma bersama mentega yang tular baru-baru ini, Dzulkefly menegaskan dalam aspek pemakanan, perkara paling penting adalah keseimbangan.

"Prinsip yang pertama, mesti ada keseimbangan. Memang kurma bagus, mentega pun bagus, tetapi apa yang penting adalah keseimbangan. Itu prinsip dalam pemakanan," kata Dr Dzulkefly.