JOHOR BAHRU: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam yang terletak di Jalan Kluang-Batu Pahat, di Ayer Hitam, Kluang, akan dijadikan pangkalan hadapan wilayah (RFB) sekiranya berlaku banjir besar di negeri ini.

Pengarah Jabatan Penyelamat dan Bomba dan Negeri Johor (JBPM) Siti Rohani Nadir berkata itu antara cadangan pihaknya dalam usaha menghadapi pelbagai kemungkinan ketika banjir khususnya pada musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

"Fungsi RFB ialah sekiranya berlaku banjir besar di Johor, selalunya kita akan terima bantuan dari negeri lain dari segi aset dan keanggotaan tambahan, jadi mereka ini akan ke RFB terlebih dahulu sebelum digerakkan ke kawasan banjir.

"Kita pilih BBP Ayer Hitam sebagai RFB kerana balai tersebut terletak di kawasan tinggi dan jarang berlaku banjir, selain lokasinya berada di tengah Johor yang memudahkan dari segi atur gerak," kata beliau kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Selain itu, Siti Rohani berkata JBPM juga mewujudkan dua pasukan gerak cepat terdiri daripada 13 anggota dan pegawai untuk satu pasukan, bagi membantu mana-mana negeri yang memerlukan bantuan ketika banjir atau bencana.

"Kita lengkapkan setiap pasukan gerak cepat dengan satu kenderaan darat dan satu kenderaan air untuk memudahkan mereka bergerak. Pasukan ini juga dianggotai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA)," katanya.

Beliau berkata pasukan gerak cepat berkenaan, yang juga diwujudkan di setiap negeri akan digerakkan untuk membantu negeri lain bukan sahaja dari segi kerja penyelamatan mangsa banjir, malah sebarang usaha mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya terdapat kes lemas dan hilang.

Siti Rohani yang baru memimpin JBPM Johor pada Jun lepas, berkata JBPM Johor dengan kekuatan 1,300 anggota dan pegawai pelbagai pangkat, telah bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan bencana itu sejak Oktober lagi.

"Anggota dan pegawai kita dalam keadaan siap sedia di semua balai dan ibu pejabat, selain kita juga meminta pasukan bomba sukarela.

"Kita kini ada dalam 280 anggota bomba sukarela untuk bersiap siaga sekiranya berlaku banjir supaya mereka boleh membantu kita.

"Persiapan lain daripada segi aset dan logistik, memang kita dah bermula sejak bulan Oktober lagi iaitu bermula dengan pemeriksaan dan pengujian aset darat dan air serta eksesais bersepadu bersama agensi lain," kata Siti Rohani.

Justeru, beliau berharap koordinasi berserta agensi lain selama ini akan dapat diteruskan dalam memastikan sebarang operasi ketika musim bencana dapat dilaksanakan dengan lancar.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), beliau berkata terdapat 745 lokasi di 10 daerah di Johor dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

Menurutnya daripada jumlah itu, Batu Pahat dan Segamat mencatatkan jumlah lokasi berisiko banjir tertinggi masing-masing sebanyak 186 lokasi dan 103 lokasi.

"Sebelum ini banyak kawasan banjir berlaku di daerah Segamat, Mersing, Kluang, Tangkak dan Batu Pahat, jadi itu antara kawasan yang kita beri lebih tumpuan berdasarkan kes yang berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu, Siti Rohani berkata tumpuan juga diberikan kepada lokasi cerun kritikal berdasarkan data daripada Jabatan Kerja Raya, melibatkan 23 lokasi di tujuh daerah antaranya di Batu Pahat, Kota Tinggi, Muar dan Johor Bahru.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa patuh arahan pihak berkuasa untuk berpindah selain mengikuti perkembangan semasa cuaca dan air pasang besar seperti yang dikeluarkan agensi terlibat.

"Kita juga nasihatkan supaya jangan sewenang-wenang meredah air banjir dan ibu bapa perlu memantau aktiviti anak dan jangan benarkan mereka main air banjir untuk mengelakkan berlaku kes lemas," katanya.

-- BERNAMA