MFW diarah tarik balik promosi, pengiktirafan ‘Muslim Choice' - Menteri Agama

Mohd Na'im Mokhtar. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Muslim Friendly Watch (MFW) diarahkan menarik semula segala bentuk promosi dan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ yang boleh mengelirukan pengguna Islam di negara ini.
Ringkasan AI
- Menteri Hal Ehwal Agama arahkan Muslim Friendly Watch (MFW) tarik balik pengiktirafan 'Muslim Choice' yang boleh mengelirukan pengguna Islam.
- JAKIM akan ambil tindakan tegas jika MFW tidak patuhi arahan; 'Muslim Choice' bukan pengesahan halal yang diiktiraf.
- MFW memohon maaf atas kekeliruan, jelaskan 'Muslim Choice' bukan badan pensijilan halal tetapi platform dalaman.
“Sekiranya pihak MFW gagal mematuhi amaran yang diberikan oleh JAKIM, setelah berbincang dengan Datuk Armizan Mohd Ali, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan logo halal atau sebarang bentuk pengiktirafan yang mengelirukan,” tegas beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Pada Ahad, JAKIM menegaskan bahawa penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ yang diperkenalkan oleh MFW bukanlah satu bentuk perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, penggunaan istilah tersebut boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Susulan itu, MFW memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul melibatkan sistem dalaman organisasi dikenali sebagai Muslim Choice.
Presidennya, Noorman Kamsani menjelaskan bahawa Muslim Choice bukanlah badan pensijilan halal atau label pengiktirafan, sebaliknya hanyalah platform dalaman untuk menyimpan dan mengurus data ahli korporat serta ahli-ahli MFW. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


