Skip to main content

Malaysia

Bebas dengan jaminan polis bukan lepas kes, ini penjelasan peguam

SHAH ALAM - Peguam berpandangan tidak semestinya wujud layanan dua darjat sepertimana didakwa segelintir pihak dalam kes rempuh pelajar Tingkatan Satu di Kota Bharu, Kelantan dan direman berserta kejadian langgar penghantar makanan di Petaling Jaya, Selangor tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Menurut peguam, Mahmud Jumaat, ia kerana terdapat perbezaan fakta kes dan pertimbangan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa berdasarkan keadaan setiap kes secara tersendiri. -Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Peguam berpandangan tidak semestinya wujud layanan dua darjat sepertimana didakwa segelintir pihak dalam kes rempuh pelajar Tingkatan Satu di Kota Bharu, Kelantan dan direman berserta kejadian langgar penghantar makanan di Petaling Jaya, Selangor tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Menurut peguam, Mahmud Jumaat, ia kerana terdapat perbezaan fakta kes dan pertimbangan siasatan yang dilakukan pihak berkuasa berdasarkan keadaan setiap kes secara tersendiri.

Beliau yang sering mengendalikan kes jenayah, korporat, hartanah, syariah dan pengurusan harta berkata, orang ramai perlu memahami perbezaan antara kedua-dua konteks terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya salah faham.

"Perkara pertama yang perlu diingat dan ramai sering salah faham apabila seseorang 'dibebaskan dengan jaminan polis', ia bermaksud individu tersebut dilepaskan daripada kesalahan atau tidak akan didakwa. Itu sebenarnya tidak betul.

"Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan bahawa tiada seseorang boleh ditahan melebihi tempoh 24 jam.

"Bagaimanapun, terdapat Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593), satu peruntukan mekanisme yang membolehkan seseorang ditahan dalam jagaan melebihi tempoh 24 jam atas alasan siasatan tak dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Namun, jelas Mahmud, tempoh tahanan dan reman bergantung kepada beberapa faktor tertentu seperti tahap keseriusan kes, keperluan siasatan, risiko suspek melarikan diri, kemungkinan mengganggu saksi atau bahan bukti serta keadaan kesihatan tertuduh.

Tambahnya, dalam kes melibatkan warga emas atau individu yang mempunyai masalah kesihatan serius, pihak polis mempunyai budi bicara untuk tidak meneruskan reman atau membebaskan suspek dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.

"Perkara ini sering disalah erti masyarakat yang menganggap apabila seseorang tidak direman, maka kes tersebut 'ditutup' atau individu itu dibebaskan sepenuhnya daripada tindakan undang-undang.

"Dari sudut perundangan, keadaan tersebut tidak semestinya begitu kerana siasatan masih diteruskan seperti biasa dan kertas siasatan tetap boleh dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut," ujarnya lagi.

Berhubung perbandingan dengan kes guru yang direman di Kota Bharu sebelum ini, Mahmud menegaskan reman bukan hukuman, ia hanya proses untuk membantu siasatan.

"Setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza. Pihak polis serta mahkamah akan menilai beberapa pertimbangan tertentu.

"Antaranya keadaan kesihatan suspek, keperluan mendapatkan suspek bagi tujuan siasatan lanjut, risiko gangguan terhadap siasatan, tahap kerjasama suspek serta keseluruhan fakta kes," jelas beliau.

Pada 12 April lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika memakai kasut di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, Kota Bharu.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah, manakala rakannya cedera parah.

Susulan itu, seorang guru wanita berusia 57 tahun direman bagi membantu siasatan kes tersebut dan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan, pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes berbeza pada 6 Mei lepas, seorang lelaki warga emas yang merempuh penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan 17/21 Petaling Jaya dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, lelaki tempatan berusia sekitar 70-an itu ditahan bagi membantu siasatan.

Shamsudin menambah, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Proton X70 terbabit sehingga hilang kawalan dan merempuh mangsa yang juga bekerja sebagai penghantar makanan. -Sinar Harian

 

Must Watch Video