Bekalan air di Melaka mencukupi untuk Aidilfitfi - Exco

Hameed berkata BKSA dan SAMB turut melaksanakan langkah awal dengan mengoptimumkan sumber air mentah melalui tiga sungai utama iaitu Sungai Batang Melaka, Sungai Melaka dan Sungai Kesang. - Gambar hiasan/EPA/Andy Rain
ALOR GAJAH: Kerajaan Negeri Melaka memberi jaminan bekalan air di negeri itu mencukupi untuk kegunaan penduduk khususnya pada musim perayaan Aidilfitri meskipun berdepan cuaca panas dan kering ketika ini, dengan pelbagai langkah diambil untuk memastikan bekalan air kekal stabil.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Melaka memberi jaminan bekalan air mencukupi bagi penduduk semasa musim perayaan Aidilfitri walaupun cuaca panas dan kering.
- Paras air di Empangan Durian Tunggal, Empangan Jus, dan Empangan Asahan berada pada tahap selamat, membolehkan negeri ini menampung keperluan bekalan air.
- Langkah diambil oleh BKSA dan SAMB termasuk mengoptimakan sumber air mentah melalui sungai utama serta menggalakkan penggunaan air secara berhemat dalam komuniti.
"Badan Kawal Selia Air Melaka (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga sedang menggerakkan aliran air daripada sumber-sumber sedia ada bagi memastikan bekalan terus stabil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau meninjau kawasan tadahan air di Empangan Durian Tunggal, dengan turut disertai Pengarah BKSA Melaka Azizul Adzran Mahmor dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman.
Hameed berkata berdasarkan unjuran Jabatan Meteorologi, hujan dijangka berlaku sebelum April dan sekiranya tiada hujan dalam tempoh itu, bekalan air masih berupaya bertahan hingga enam bulan dengan pengurusan bekalan secara berjadual.
Beliau berkata BKSA dan SAMB turut melaksanakan langkah awal dengan mengoptimumkan sumber air mentah melalui tiga sungai utama iaitu Sungai Batang Melaka, Sungai Melaka dan Sungai Kesang.
Pelepasan air dari Empangan Jus, katanya telah dilakukan melalui Sungai Batang Melaka bagi membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Gadek, manakala pelepasan air dari Tasik Chinchin disalurkan ke Sungai Kesang untuk menyokong bekalan ke LRA Merlimau dan LRA Jus.
Hameed berkata Sungai Melaka terus menampung keperluan air mentah bagi loji-loji rawatan di kawasan bandar termasuk Bukit Sebukor dan Bertam yang masih menerima bekalan mencukupi.
"Kita juga akan meningkatkan tahap pemantauan sekiranya paras air empangan utama menurun bawah 70 peratus dan langkah catuan hanya akan dipertimbangkan jika paras empangan mencapai 65 peratus.
"Justeru, orang ramai diminta menggunakan air secara berhemat dan memaklumkan kepada SAMB sekiranya berlaku kebocoran paip di mana-mana lokasi," katanya.
-- BERNAMA
Dapatkan tip menghadapi cuaca panas dan info empangan di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

