TAWAU: Penduduk di Pulau Sebatik di sini terpaksa mengorek tanah bagi mendapatkan sumber air selain menghabiskan ratusan ringgit bagi membeli air bersih, sejak bekalan air terputus kira-kira empat bulan lepas.

Peniaga makanan Asmidar Nonton, 43, dari Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik berkata penduduk mula berdepan masalah air itu sejak November tahun lepas dan keadaan lebih sukar apabila berlaku kemarau ketika ini, sehingga sumber bekalan air menjadi kering.

"Kehidupan kami penduduk kampung ini sudah kritikal, seperti dalam darurat apabila kami di sini seolah-olah bukan lagi mencari makanan tetapi mencari air, bekalan air bersih sudah tidak ada di kawasan kami.

"Tindakan yang kami (penduduk kampung) ambil dalam tempoh ini ialah mencari sumber air, mengorek tanah mencari air. Penduduk menemui empat sumber air, tapi tiga telah kering dan tinggal satu lagi mungkin sedikit masa akan kering, sebab ramai orang perlu air," katanya kepada Bernama.

Peniaga itu berkata penduduk menemui dua sumber air berdekatan Kampung Hilltop dan satu masing-masing di Kampung Bakau serta berdekatan loji air Pulau Sebatik, manakala sumber air yang belum kering itu berada di Kampung Hilltop.

Baru-baru ini tular beberapa rakaman video dan gambar di media sosial, termasuk usaha penduduk Pulau Sebatik bekerjasama mencari punca air berikutan terputus bekalan air bersih.

Pulau Sebatik terbahagi kepada dua negara iaitu bahagian utara pulau dimiliki Indonesia, manakala bahagian selatan milik Malaysia, dengan 12 kampung serta kependudukan yang melebihi 20,000 orang.

Asmidar berkata beliau dan keluarga terpaksa membeli air perigi untuk kegunaan mandi dan mencuci dengan harga RM60 untuk satu tangki bagi kegunaan kira-kira seminggu, manakala 10 karton air minuman dalam botol dibeli di Tawau dengan kos RM150, tidak termasuk pengangkutan untuk makan dan minum.

"Bagi yang ada kemampuan sedikit akan beli air, tetapi yang tiada kemampuan terpaksa gali tanah cari sumber air, yang tiada kemampuan terpaksa angkat air guna botol, bekas besar dan jalan jauh ke rumah, bayangkan ketika ini lagi Ramadan," katanya lagi.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Sungai Tamang Marliah Lakamboi, 41, berkata penduduk difahamkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menghadapi kesukaran untuk membawa bekalan air dari tanah besar di Tawau, setelah kolam takungan untuk bekalan air bersih di pulau itu kering.

Jururawat masyarakat itu berkata dia dan keluarganya membelanjakan ratusan ringgit sebulan untuk membeli air bagi kegunaan mereka seperti RM60 untuk air mandi dan mencuci, manakala RM80 untuk air besih juga air minuman berbotol berharga sehingga RM18 satu karton yang dijual di pulau itu.

Selain itu Marliah berkata operasi tempat beliau bertugas iaitu Klinik Kesihatan Sungai Tamang turut terkesan akibat ketiadaan bekalan air itu dan terpaksa membeli bekalan air untuk operasi harian klinik tersebut.

"Kami juga membeli air untuk kegunaan di klinik bagi pesakit serta kegunaan petugas bagi mengekalkan kebersihan kepada pesakit," katanya turut menambah baju uniform kerja yang dicuci menggunakan air perigi turut berubah warna dari warna putih kebiruan kepada kuning kecoklatan.

Beliau turut berharap terdapat badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, termasuk semua parti politik agar dapat menyalurkan bantuan airm kerana ramai penduduk yang tidak mampu membeli air untuk tujuan bersihkan diri dan memasak.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Menteri III Datuk Seri Shahelmey Yahya juga Menteri Kerja Raya negeri berkata bagi jangka masa pendek, telaga tiub sedang dibina di pulau itu dan dijangka siap akhir minggu ini, bagi membantu penduduk Pulau Sebatik yang terputus bekalan air.

"Kerajaan negeri dan JANS sememangnya sedang mencari jalan untuk membekalkan air kepada penduduk terjejas di pulau itu, sememangnya kita berdepan kesukaran kerana bukan mudah bawa bekalan air ke pulau itu, tetapi kita tetap cari jalan bagi membantu penduduk di sana," katanya.

Beliau berkata pembenihan awan merupakan antara cadangan untuk meningkatkan tahap bekalan air di negeri ini, bagaimanapun proses itu amat bergantung kepada kesesuaian situasi terutama jenis awan yang terbentuk.

-- BERNAMA