Kerancakkan kempen Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut yang kini tinggal hanya dua hari sahaja lagi digegarkan dengan kemunculan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) DUN Bukit Besi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang tampil mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendedahkan nama calon PKR yang terlibat dalam pengedaran pil kuda pada PRU lalu.

Mohd Shamsul Mat Amin, 28, yang hanya berjaya meraih 52 undi sahaja dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Bukit Besi kepada penyandang, Roslee Daud dari Barisan Nasional dan calon Pas, Roslan Ismail mendakwa tohmahan fitnah yang diucapkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Tebakang Alor Limbat, Marang, Terengganu pada 21 April lalu sebenarnya lebih banyak menjurus kearah dirinya.

Dalam ucapan tersebut, Abdul Hadi mendakwa ada calon yang dipilih dari kalangan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) merupakan calon yang ‘tangkap muat’, dimana calon yang dipilih itu adalah seorang pengedar pil kuda dan ada juga yang berfahaman komunis dimana, bilik gerakan parti tersebut digantungkan gambar Karl Marx, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin.

“Saya merasa tertekan dan terhina dengan ucapan-ucapan tersebut kerana antara calon-calon yang dituduh sebagai tukang edar pil kuda itu adalah termasuk saya sendiri. Ucapan tersebut telah dimuatnaik ke YouTube dan tersebar meluas menerusi Internet,” kata Mohd Shamsul kepada pemberita di lobi sebuah hotel disini pagi tadi.

Dia yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Dungun berkata dakwaan yang dilemparkan itu lebih menuju kepada calon-calon PKR yang bertanding dalam kawasan-kawasan yang bertindih dimana dua calon PR, iaitu Pas dan PKR bertembung sesama sendiri seperti di Bukit Besi, Kota Putera, Seberang Takir.

“Haji Hadi tidak menamakan nama calon itu, tetapi secara amnya beliau menuduh ada calon-calon di kawasan bertindih tersebut merupakan ‘calon pil kuda’. Saya adalah calon termuda berumur 28 tahun dan bertanding di kawasan-kawasan yang dimaksudkan. Jadi, mestilah saya yang dianggapkan sebagai ‘calon pil kuda’,” kata Mohd Shamsul.

Bila ditanya mengapa baru sekarang muncul untuk tampil membuat pendedahan, Mohd Shamsul menjawab bahawa ianya dilakukan setelah mendapati kepercayaan masyarakat terhadap dirinya hari demi hari semakin terhakis.

“Isu kenapa sekarang baru dibuat pendedahan ini tidak timbul sebenarnya kerana masa fitnah yang dilemparkan itu berlaku dalam musim pilihan raya dan saya menjawab semasa pilihan raya juga dan saya mahu membersihkan nama saya,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia masih mampu bertahan dengan dakwaan yang dilemparkan itu namun apabila pandangan serong masyarakat terhadapnya itu berlarutan sehingga kini, ianya telah menyebabkan dirinya tidak mampu bertahan lagi dan ingin muncul membuat pendedahan.

“Saya bekerja sebagai pemaju hartanah dan sering berurus niaga jual beli rumah dengan orang namun apabila kepercayaan telah mula luntur dan orang ramai telah mual memandang serong terhadap diri saya disebabkan dakwaan fitnah itu ianya sekaligus menjejaskan kehidupan saya. Masyarakat kini menganggap segala hasil pendapatan saya itu adalah hasil edaran pil kuda,” katanya.

Dakwaan tersebut sedikit sebanyak juga memberi impak kepada kehidupannya di kampung dimana jemaah-jemaah masjid di kariahnya sudah tidak lagi mahu bersalam atau bercampur gaul dengannya lagi dan merasakan dirinya bagaikan dipulaukan.

“Sidang media ini dilakukan oleh saya sendiri tanpa ada campur tangan dari parti sendiri atau orang lain. Ini melibatkan peribadi saya dan Haji Hadi. Wartawan pun ramai di Besut, jadi saya mengambil peluang ini untuk membuat pendedahan disini,” katanya.

Dia menganggap Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin politik yang berlandaskan agama tidak sepatutnya mengeluarkan fitnah tanpa sebarang bukti sahih kerana ia jelas menjejaskan hubungan parti dalam Pakatan Rakyat.

Permasalahan tersebut telah pun dibincangkan dengan Pengerusi Pimpinan PKR Terengganu, Azan Ismail namun tiada jawapan balas dari pimpinan Pas Terengganu.

“Saya melalui peguam saya akan menfailkan saman kepada Abd Hadi secepat mungkin,” katanya.

Mohd Shamsul membuat laporan polis pada jam 8.55 pagi tadi di Balai Polis Kuala Terengganu ditemani oleh bapanya, Mat Amin Ismail Abas dan Pengarah Pilihan Raya PKR Terengganu, Yahya Zakaria.

Yahya pula menambah, dakwaan Presiden Pas tersebut dibuat di Terengganu dan memfokuskan kepada calon-calon yang bertanding di kawasan bertindih di Terengganu.

“Jika dibuat di peringkat Pusat, maka ianya lebih merujuk kepada calon di keseluruhan negeri dan calon PKR yang bertanding pada PRU lalu di Terengganu ada enam orang dan tiga diletakkan sebagai calon bertindih. Calon bertindih di Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi ini yang dimaksudkan sebagai ‘calon pil kuda’,” kata Yahya.

Tuduhan itu lebih merujuk kepada Mohd Shamsul disebabkan dia merupakan calon yang termuda di kalangan yang bertanding.

“Jika di Kota Putera dan Seberang Takir, calon PKR, ialah seorang yang berumur dan mustahil untuk menjadi ‘calon pil kuda’,” katanya lagi.

Pada 23 April lalu, calon DUN Kota Damansara dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir Hashim yang bertanding di atas tiket PKR telah ditohmahkan sebagai pendukung aliran komunisme.

Ini berikutan tindakan Pas yang meletakkan calonnya Ridzuan Ismail pada saat-saat akhir untuk bertanding di kawasan tersebut dan menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara Pas dan PKR menentang BN dan tiga lagi calon Bebas disitu.

Tindakan calon Pas yang disifatkan oleh Dr Nasir sebagai ‘tikaman dari belakang’ itu nyata telah membawa padah apabila beliau yang juga penyandang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum 2008 telah tewas kepada calon BN, Halimaton Saadiah Bohan.