KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif institut automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu Lembaga Pengarah Malaysia Automotive Robotics And IOT Institute (MARii) bagi mendapatkan kontrak penyediaan latihan automotif bernilai RM6.4 juta, lima tahun lepas.

Datuk Mohamad Madani Sahari, 57, didakwa menipu lembaga pengarah MARii dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa harga ditawarkan oleh syarikat LPS Learning Platform adalah RM6.4 juta sedangkan harga sebenar ditawarkan RM2.3 juta.

Perbuatan itu mendorong lembaga pengarah tersebut untuk menyerahkan kontrak bernilai RM6.4 juta kepada syarikat LPS Learning Platform dengan meluluskan cadangan pelantikan syarikat itu sebagai 'penyedia latihan bagi wilayah Tengah, Pantai Timur, Selatan serta Sabah & Sarawak pada harga kontrak keseluruhan RM6.4 juta' yang lembaga pengarah berkenaan tidak akan menyerahkan kontrak itu kepada syarikat LPS Learning dengan meluluskan cadangan pelantikan tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik mesyuarat di sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral Dua di sini antara 10.50 pagi hingga 3.35 petang, 14 Disember 2019 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Law Chin How memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.

"Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan esok dia akan didakwa lagi di mahkamah sama di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

"Pihak kami akan memohon untuk memindahkan kes di Mahkamah Shah Alam untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini,” kata Chin How yang mengendalikan kes bersama TPR, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Haresh Prakash Somiah.

Peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Mohamad Madani berkata pihaknya bersetuju untuk mengguna pakai jaminan tersebut selain memaklumkan anak guamnya tidak pernah gagal hadir ke mahkamah sejak dituduh pada April 2023.

Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai wang jaminan RM300,000 dan menetapkan 29 Februari ini untuk sebutan kes.

Pada 14 April tahun lepas, Mohamad Madani didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.

Dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 8 Mei tahun lepas atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja.

- Bernama