KUALA LUMPUR: Pos Malaysia akan mengutamakan bekas ejen 'Pos Rider' untuk berkhidmat secara sambilan dengan syarikat itu, sekiranya terdapat peningkatan jumlah bungkusan kelak.

Pos Malaysia dalam kenyataan berkata, jumlah bungkusan lazimnya melalui peningkatan pada waktu tertentu sepanjang tahun, yang didorong oleh jualan khas oleh peruncit, musim perayaan, jualan tarikh khas (seperti 9.9 atau 11.11) dan seumpamanya.

"Ini akan membolehkan bekas ejen Pos Rider memanfaatkan lonjakan tersebut, sekali gus membantu Pos Malaysia mengekalkan kecekapan kos," menurut kenyataan itu.

Pos Malaysia turut menjelaskan bahawa, dua perubahan utama pada segmen pos dan kurier telah mendorong kepada rasionalisasi program khidmat luaran Pos Rider, yang dilaksanakan pada 1 Julai.

Menurut kenyataan itu, terdapat penurunan ketara dalam jumlah mel biasa di seluruh negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan seiring itu, berlaku pertumbuhan e-dagang yang telah memperkembangkan perniagaan kurier.

"Pandemik COVID-19 juga mendorong perkembangan perniagaan kurier, kerana semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk kekal berada di rumah dan membeli-belah secara dalam talian. Penurunan jumlah mel biasa menyebabkan lebihan kapasiti tenaga kerja dalam kalangan kakitangan posmen kami.

"Maka amat wajar bagi Pos Malaysia untuk membuka peluang kepada posmen-posmen ini menghantar bungkusan kurier, selain mereka dapat memperoleh pendapatan tambahan dan memenuhi lebihan kapasiti ini," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Pos Malaysia turut mengucapkan terima kasih kepada semua ejen Pos Rider yang berkhidmat dalam program diperkenalkan pada 2019 itu, kerana inisiatif tersebut telah membantu syarikat dalam menyampaikan lebih banyak bungkusan.

-- BERNAMA