MALAYSIA
Bekas guru mengaku tidak bersalah sebar hantaran palsu hina PM di TikTok

S Chandrasegaran didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Seorang bekas guru swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu berhubung kes mengaibkan Perdana Menteri.
Ringkasan AI
- Bekas guru swasta, S. Chandrasegaran, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan membuat hantaran komunikasi palsu di TikTok yang mengaibkan Perdana Menteri pada 30 Disember 2024.
- Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman maksimum penjara setahun, denda RM50,000, dan tambahan RM1,000 sehari jika kesalahan diteruskan selepas sabitan.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan termasuk larangan ganggu saksi dan penyerahan pasport, mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh yang menghidap kanser tekak dan hilang upaya kekal.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal mencadangkan jumlah ikat jamin sebanyak RM30,000 beserta syarat tambahan, iaitu perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta larangan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.
Peguam Muhammad Nor Tamrin memohon jumlah ikat jamin pada kadar yang berpatutan, mengambil kira tertuduh kini tidak mempunyai pendapatan yang tetap selepas disahkan hilang upaya kekal dan mengidap kanser tekak.
“Dia juga perlu menyara seorang isteri dan dua anak serta tidak ada risiko untuk melarikan diri,” katanya.
Hakim Norazlin Othman membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, serta membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Okt ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami