MALAYSIA
Bekas juruukur didakwa salah guna kuasa libatkan kontrak RM150,000

Mohammad Hanif (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan kontrak bernilai RM150,000, enam tahun lepas. -Foto Bernama
KUALA TERENGGANU: Bekas juruukur bahan di Majlis Perbandaran Dungun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan kontrak bernilai RM150,000, enam tahun lepas.
Ringkasan AI
- Bekas juruukur bahan Majlis Perbandaran Dungun, Mohammad Hanif Ahmad, mengaku tidak bersalah atas tuduhan salah guna kuasa melibatkan kontrak RM150,000 pada tahun 2019.
- Beliau didakwa mencadangkan syarikat milik ibu bapanya untuk projek pembinaan pusat pemeliharaan kucing, dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda besar jika sabit kesalahan.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tambahan, dan menetapkan 29 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.
Projek berkenaan melibatkan kerja membina dan menyiapkan Pusat Pemeliharaan Kucing Terbiar di Taman Rimba Bandar Bukit Bauk, dan kontrak berkenaan dianugerahkan kepada syarikat tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Sebutharga Majlis Perbandaran Dungun kali ke-2/2019 pada 9 Mei 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara April dan Mei 2019 di pejabat Majlis Perbandaran Dungun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat lain iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM terdekat.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami