KUALA TERENGGANU: Seorang bekas kerani sebuah bank mengaku salah menipu pelanggan dan memalsukan dokumen berkaitan pembelian Sijil Simpanan Premium (SSP) membabitkan kerugian keseluruhan RM1.435 juta di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Tertuduh, Mohd Sufian Talib, 36, mengaku salah bagi 55 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang dibacakan secara berasingan.

Dia yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama didakwa menipu empat mangsa yang berusia antara 30 hingga 40 tahun dengan setiap mangsa menanggung kerugian antara RM150,000 hingga RM785,000.

Tertuduh yang sudah berkahwin didakwa menipu keempat-empat mangsa untuk mempercayai bahawa bank berkenaan ada menawarkan pelaburan pembelian SSP sebanyak RM50,000 dan akan mendapat insentif sebanyak RM3,000 selepas tempoh 65 hari.

Tindakan tertuduh itu mendorong kesemua mangsa membayar pelaburan pembelian SSP itu.

Bagi setiap kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Deposit/Bayaran/Tuntutan yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu, lapor Sinar Harian.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd Sufian turut didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu sekeping resit rasmi pembelian SSP dari bank berkenaan yang mana dokumen itu adalah cagaran berharga.

Tertuduh yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di daerah Kuala Terengganu antara Julai 2017 hingga Jun 2018.

Bagaimanapun, Hakim Nooriah Osman menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.