KUALA LUMPUR: Seorang bekas kerani syarikat swasta terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan mengedar dadah seberat 59.98 gram, tiga tahun lepas.

Siti Aisah Noordin, 35, turut dibebaskan daripada enam pertuduhan memiliki dadah seberat 516.92 gram.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Azhar berkata mahkamah telah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan berhubung maklumat serbuan kejadian yang telah diterima.

"Pihak pendakwaan didapati gagal untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi sedangkan dia telah ditangkap bersama tertuduh. Ini menunjukkan satu kelompangan dalam kes ini.

"Oleh itu, saya memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal menimbulkan satu kes prima facie dan oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan itu," kata Azhar.

Siti Aisah, yang memakai baju dan tudung berwarna hitam dilihat tersenyum selepas mahkamah memberikan keputusan.

Wanita itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di kondominium di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara di sini pada 9.30 malam, 20 April 2020, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Bagi enam pertuduhan lain, Siti Aisah didakwa ada dalam milikannya dadah jenis ketamin, MDMA, nimetazepam, methamphetamine dan clozapine di dua kondominium berbeza di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara pada 9.30 malam dan 10 malam, 20 April 2020.

Bagi kesalahan memiliki dadah jenis ketamin, MDMA, nimetazepam dan methamphetamine, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memiliki dadah jenis clozapine, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 29 Mei lepas. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene manakala peguam Maanveer Singh mewakili tertuduh.

-- BERNAMA