LONGVIEW: Sekurang-kurangnya seorang maut, sembilan pekerja dilaporkan hilang manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah tangki kimia meletup dan runtuh di kilang pembuatan kertas di daerah Cowlitz, barat daya Washington, Amerika Syarikat, semalam.
Jabatan Bomba Longview dalam kenyataan bersama pengurusan kilang mengesahkan kejadian berlaku kira-kira 7.15 pagi waktu tempatan di kilang milik Nippon Dynawave Packaging Co.
Letupan itu melibatkan tangki berkapasiti kira-kira 80,000 gelen yang mengandungi white liquor, iaitu bahan kimia mengakis yang digunakan dalam proses pembuatan kertas.
Kejadian itu menyebabkan bahan kimia tersebut melimpah ke kawasan saliran berhampiran, sekali gus mendorong Jabatan Ekologi negeri menghantar pasukan pakar bagi menilai kesan terhadap alam sekitar.
Pihak hospital mengesahkan menerima sembilan mangsa dengan kecederaan termasuk lecur kimia dan masalah pernafasan, manakala seorang anggota bomba yang cedera telah dibenarkan pulang.
Komander Jabatan Bomba Longview, Mike Gorsuch, berkata kawasan kejadian diklasifikasikan sebagai insiden korban besar-besaran yang memerlukan pengurusan operasi yang kompleks.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan sembilan pekerja yang hilang masih diteruskan, namun menghadapi kesukaran berikutan struktur tangki yang tidak stabil.
Pihak berkuasa tempatan bersama unit bahan berbahaya (Hazmat) kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.