Operasi khas Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima lelaki di sekitar Johor dan Selangor pada 9 hingga 13 November 2015 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.

Tiga suspek yang ditahan disyaki mempunyai kaitan dengan militan IS manakala dua yang lain dipercayai mempunyai hubungan dengan sebuah kumpulan pengganas dikenali sebagai Imam Mahdi.

Salah seorang suspek berusia lingkungan 40 tahun dari Petaling Jaya, Selangor dikatakan pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan di Felda Global Ventures (FGV) dan pernah berlepas ke Turki pada 21 Oktober lalu untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai IS.

Polis percaya urusan pemergian suspek ke Syria diatur seorang individu warga Somalia yang dikenali melalui Twitter.

Dua lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian IS turut ditahan di Johor dan kedua-duanya bekerja di sebuah kantin farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia dekat Petaling Jaya.

Kedua-dua suspek dengan salah seorang daripadanya merupakan warga Indonesia turut dipercayai bercadang berlepas ke Syria bagi menyertai IS.

Sebelum ini mereka juga pernah ditahan polis atas kesalahan di bawah Akta Imigresen dan masih lagi dibawah siasatan pihak berkuasa.

Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia berusia antara 28 dan 30 tahun yang turut ditangkap di Selangor disyaki merupakan anggota kumpulan pengganas Imam Mahdi.

Suspek berusia 28 tahun dipercayai merancang melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan akan membunuh mana-mana pihak termasuk ahli keluarganya yang bertindak menghalang perjuangan mereka.

Suspek berusia 30 tahun pula bekerja sebagai penjual soya merupakan bekas anggota Al Ghuraba, kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang pernah ditangkap pada 2003 di Karachi, Pakistan.

Siasatan masih dijalankan bagi mengesan baki anggota kumpulan tersebut dan polis percaya kesemua mereka menggunakan media sosial Facebook bagi berinteraksi antara satu sama lain.

Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).