Bekas pegawai tentera didakwa tipu kontraktor selenggara

Bernama
Julai 13, 2021 07:26 MYT
Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menipu seorang kontraktor berhubung kerja-kerja penyelenggaraan membabitkan kerugian RM8,500, lima tahun lepas. - Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang bekas pegawai tentera berpangkat mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang kontraktor berhubung kerja-kerja penyelenggaraan membabitkan RM8,500, lima tahun lepas.
Mohd Suhaizal Mat Sulaiman, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mohd Suhaizal didakwa menipu Leong Hong Kit, 38, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mendapatkan kerja selenggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasiliti infra latihan.
Kerja-kerja itu membabitkan Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) serta infra mekanikal Pulada sehingga mendorong Leong menyerahkan wang sebanyak RM8,500 secara dalam talian.
Mohd Suhaizal yang juga bekas Pegawai Senggara 2 Sivil dan Struktur Angkatan Tentera Malaysia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Dato Hj Hassan, Kampung Masjid Lama, Kluang antara 5 dan 12 Feb 2016.
Bapa kepada empat anak itu dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Johor Norsyarina Raizan mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam Abdul Rashid Tasin yang mewakili Mohd Suhaizal memohon jaminan tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan diisytihar bankrap baru-baru ini selain perlu menanggung keluarga.
Ahmad Kamal Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
#tipu #Kontraktor #bekas tentera #mahkamah #kerja selenggara #Rasuah