PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori yang membunuh bapanya dengan mengelar leher mangsa menggunakan parang terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati dengan penjara 35 tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohamad Nazri Abdullah, 51, terhadap hukuman mati yang dijatuhi ke atasnya.

Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuannya berhubung sabitan bagi kesalahan membunuh.

"Hukuman mati diketepikan dan diganti dengan penjara 35 tahun bermula dari tarikh perayu ditangkap pada 4 Julai 2017," kata Vazeer Alam yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk SM Komathy.

Beliau berkata hukuman sebatan terhadap Mohamad Nazri dikecualikan kerana umur perayu melebihi 50 tahun.

Pada 15 Dis 2021, Mohamad Nazri dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh S. Valaytham, 76, di sebuah rumah di Felda Lui Timur, Bahau, Negeri Sembilan di antara 10.30 malam hingga 11.20 malam pada 2 Julai 2017.

Terdahulu, peguam Ahmad Ishrakh Saad berhujah ketika kejadian, perayu mabuk dan fakta ini disokong oleh keterangan saksi pendakwaan.

"Dalam kes ini, hakim bicara telah menerima fakta bahawa perayu berada dalam keadaan mabuk tetapi tidak boleh menentukan tahap kemabukan perayu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz pula berkata terdapat keterangan saksi bahawa perayu telah memandu keretanya selama dua jam dari rumah mangsa ke rumah kawannya di Sungai Pelek, Sepang.

"Jika perayu berada dalam keadaan mabuk, bagaimana dia boleh memandu kereta selama dua jam," katanya yang memohon agar hukuman mati terhadap perayu dikekalkan.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Valaytham, yang juga peneroka tanah rancangan, ditemukan mati oleh anggota polis peronda yang ke rumah mangsa selepas menerima maklumat jiran mengenai insiden pergaduhan di lokasi tersebut.

Insiden itu berlaku selepas Mohamad Nazri, anak ketiga daripada enam beradik, meminta wang daripada Valaytham namun tidak diendahkan oleh mangsa.

-- BERNAMA