BARCELONA: Kerajaan akan mengaktifkan kerjasama antara kerajaan (G2G) melalui kedutaan bagi memastikan kelancaran pergerakan misi Global Sumud Flotila 2.0 yang disertai sukarelawan Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut dibuat sebagai tanda komitmen kerajaan untuk memudah cara misi kali ini.
Advertisement
“Khususnya apabila peserta melalui beberapa lokaliti dan kawasan yang memerlukan kebenaran dan sokongan daripada negara-negara terbabit,” katanya ketika wawancara bersama Astro AWANI di sini semalam.
Amirudin berkata pasukan pemantau dan unit strategik misi juga akan menyalurkan maklumat kepada pihak kedutaan mengenai pergerakan pelayaran peserta GSF 2.0.
Terdahulu beliau turut menyatakan jaminan kerajaan untuk memantau secara rapi pergerakan peserta GSF 2.0.
“Kerajaan akan terus memantau melibatkan setiap lokasi dan situasi sama ada melalui pusat kawalan (dan) semuanya berjalan dengan baik.
“Saya tahu bukan perkara mudah tetapi anda semua (peserta misi) telah melakukan perkara yang besar mewakili 34 juta rakyat Malaysia,” katanya.
Amirudin ditemui pemberita semasa berada di bot pemantau di perairan Laut Mediterranean untuk melihat pergerakan pelayar yang baru berlepas dari Pelabuhan Barcelona.
Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Haznah Md Hashim, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery dan barisan peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Manusia (CENTHRA).
GSF 2.0 dilancarkan dengan matlamat utama untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza, di samping menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terus berdepan krisis berpanjangan.
Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal serta kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, manakala ribuan penyokong pro-Palestin turut membanjiri kawasan Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan pelayaran bersejarah itu.