Bekas penasihat peribadi kepada usahawan Datuk Che Rozmey Che Din, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Ahad atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM112,000 antara 2014 hingga 2016.

Abdullah Sani Ismail, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Juraidah Abas.

Mengikut semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah menggunakan dua akaun milik sebuah syarikat dan akaun peribadi sebagai peralatan pengubahan wang haram yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Abdullah Sani didakwa melakukan perbuatan tersebut masing-masing di CIMB Bank Berhad dan Hong Leong di Alor Setar antara 10 September 2014 hingga 31 Ogos 2016.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau peralatan kesalahan atau RM5 juta mengikut yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin, manakala tertuduh diwakili peguam Badrul Hisham Abdullah.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, jaminan itu hanya boleh dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lapan bulan di Penjara Kamunting, Perak yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan lain membabitkan pecah amanah, tahun lalu.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 30 Ogos depan.