Bekas penebar roti canai bebas tuduhan bunuh polis bantuan wanita

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan bekas penebar roti canai daripada pertuduhan membunuh seorang anggota polis bantuan wanita di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, enam tahun lepas. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan bekas penebar roti canai daripada pertuduhan membunuh seorang anggota polis bantuan wanita di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, enam tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah dalam keputusan sebulat suara melepas dan membebaskan Mohamad Farreyl Haikal Abdullah, 28, selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Jun 2024 yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup (30 tahun) dan 12 sebatan terhadapnya.
"Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf kerana gagal mengambil kira laporan kimia yang membuktikan kehadiran seorang lelaki lain yang tidak dapat dikenal pasti identitinya (di dalam rumah tersebut). Laporan itu menunjukkan wujud kesan asid deoksiribonukleik (DNA) orang lain pada puntung rokok, seluar dalam dan bantal di dalam bilik mangsa yang memungkinkan kehadiran pihak lain di dalam bilik si mati.
"Tiada keterangan dikemukakan untuk menyokong hujahan pihak pendakwaan yang bersandarkan prinsip orang terakhir dilihat di tempat kejadian (last seen principle) bagi mendakwa perayu," kata Azman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Mohamad Farreyl Haikal didakwa membunuh Nor Aisyah Abdullah, 25, di sebuah pangsapuri di Damansara Damai antara 2 pagi, 17 Okt 2019 hingga 12.45 tengah malam, 18 Okt 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berhujah bahawa penemuan DNA perayu di dalam rumah terbabit menjadi bukti kukuh bahawa perayu ada bersama dengan wanita itu sebelum kematiannya.
"Perayu mengaku menghisap rokok dan DNA dirinya dijumpai pada puntung rokok yang diambil oleh pihak forensik," katanya.
Beliau berkata keterangan saksi pakar dalam bidang Forensik Patologi (saksi pendakwaan ketiga - SP3) turut menyatakan sebab kematian si mati ialah sesak nafas (smothering) akibat tekupan sepertimana laporan bedah siasat.
"Tekupan boleh terjadi daripada tangan atau apa-apa objek. SP3 menyatakan mangsa mengalami kecederaan antaranya patah tulang hidung, koyakan di bawah bibir dan lebam pada kedua-dua mata yang konsisten dengan perbuatan menekup dengan jari, bukan menggunakan bantal yang lembut.
"Oleh itu, hakim Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mensabitkan perayu dengan kesalahan sepertimana pertuduhan," katanya.
Sementara itu, peguam Fahri Azzat berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi gagal untuk mempertimbangkan kandungan dalam laporan kimia, serta keterangan lisan dan bertulis SP12 (ahli kimia) yang mengesahkan kewujudan dua profil DNA yang tidak diketahui, sekali gus menafikan bahawa perayu mempunyai akses eksklusif kepada unit (rumah) itu.
Beliau berkata hakim gagal mengambil kira bahawa terdapat kekurangan bukti DNA yang membuktikan perayu berada di dalam bilik si mati, sebaliknya DNA "Lelaki 1" yang dijumpai termasuk pada bantal yang mungkin digunakan untuk menekup si mati.
"Hakim juga gagal membuat pertimbangan terhadap pengakuan pegawai penyiasat bahawa dia tidak pernah meneliti kandungan laporan kimia sepanjang siasatannya, sekali gus menunjukkan siasatan yang tidak mencukupi dan sambil lewa," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


