KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau menolak dakwaan bahawa sebarang tindakan atau kegagalan di pihaknya telah mengakibatkan kerugian kepada syarikat berkenaan.
Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, 71, berkata beliau tidak mengetahui mengenai pengeluaran RM42 juta itu dan tidak pernah membenarkan apa-apa urus niaga atau akses kepada akaun bank SRC pada masa yang material.
Advertisement
Beliau berkata demikian semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap bekas perdana menteri itu.
Menjawab dakwaan Najib bahawa bekas pengarah SRC, termasuk dirinya, telah melanggar tanggungjawab undang-undang dan fidusiari, Mohammed Azhar berkata pengeluaran dana serta urus niaga berkaitan yang dipertikaikan itu bukan dalam pengetahuannya, dan beliau tidak pernah terlibat atau memainkan sebarang peranan dalam tempoh berkenaan.
"Walaupun transaksi dan pengeluaran dana berlaku semasa saya menjawat jawatan sebagai pengarah, pada setiap masa perkara tersebut bukan berada dalam pengetahuan saya, dan saya tidak pernah mengambil bahagian atau terlibat dengannya. Oleh itu, saya tidak boleh dikatakan melanggar tanggungjawab undang-undang dan fidusiari bagi perkara yang bukan dalam pengetahuan saya," katanya.
Mohammed Azhar, yang dinamakan sebagai seorang daripada pihak ketiga dalam saman itu, berkata apabila menyertai SRC, tanggungjawabnya ialah untuk melaksanakan dan mengoperasikan Projek Saluran Paip Gas Sabah dan Projek Saluran Paip Semenanjung, dua daripada tiga projek yang telah dikenal pasti sebelum ini, dalam kapasiti beliau sebagai ketua pegawai eksekutif.
"Apabila saya diminta menyertai SRC pada 2014, selepas mendapat kelulusan daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa kedua-dua projek itu akan diteruskan, saya menyedari bahawa Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC) memainkan peranan sangat aktif dalam penubuhan SRC itu sendiri.
"Pada masa saya menyertai SRC, pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah masuk ke akaun SRC dan kemudian dikeluarkan, dan pada ketika itu secara umum diketahui bahawa Nik Faisal memainkan peranan penting bagi menjayakan perkara itu," katanya.
Beliau turut mengimbau bahawa sepanjang tempoh beliau menjadi pengarah, perkara berkaitan kewangan sentiasa dibentangkan kepada Lembaga Pengarah SRC (BOD) oleh Nik Faisal, selaras dengan peranan beliau sepertimana ditetapkan BOD selepas mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.
Saman sivil yang difailkan pada 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari, menuntut satu pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab terhadap RM42 juta serta menuntut ganti rugi atas penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.
-- BERNAMA