KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan seorang bekas pengarah syarikat dan seorang bekas ketua pegawai kewangan daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembayaran balik pembelian mesin pelekat pembungkusan berjumlah RM1.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pada 2014.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Gulam Rusol Md Ismail, 60, dan Kamaruzzaman Kamaludeen, 50, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Rozina berkata terdapat kecacatan pada pertuduhan yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh.

"Pendakwaan gagal menyatakan secara spesifik, apakah butiran palsu yang dikatakan telah memperdaya kementerian berkenaan, yana mana ia merupakan kecacatan yang memudaratkan kes pendakwaan dan memprejudiskan kedua-dua tertuduh," katanya.

Beliau berkata mahkamah mendapati ketika pihak audit hadir di Natureceuticals Sdn Bhd (NCSB), mesin itu tidak berada di situ kerana pembatalan pembelian telah dibuat oleh saksi pendakwaan ke-12, Pengarah NCSB ketika itu, Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, bukannya oleh kedua-dua tertuduh.

"Mesin tersebut bukan lagi berada di bawah kawalan kedua-dua tertuduh. Justeru, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri bagi pertuduhan tersebut, jaminan serta pasport dikembalikan kepada mereka," kata Rozina.

Seramai 15 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan bermula 28 Jan 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi dan Natrah Fareha Rahmat manakala peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mewakili Gulam Rusol sementara Kamaruzzaman diwakili peguam Muhammad Irzan Iswatt Noor Mohd.

Pada 17 Julai 2020, Gulam Rusol sebagai presiden dan pengarah syarikat NCSB (ketika itu) didakwa mengemukakan permohonan bagi tuntutan bayaran balik pembelian mesin itu berjumlah RM1,225,000 kepada Nordanial Rohimi, di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dengan niat memperdayakan kementerian itu.

Dokumen tersebut mengandungi butiran palsu iaitu salinan invois, salinan pesanan pembelian Natureceuticals Sdn Bhd, dua salinan masing-masing baucar pembayaran dan cek Maybank, yang dilampirkan, sedangkan pembelian mesin itu tidak pernah dibekalkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Herba, di kementerian berkenaan di Prensint 4, Putrajaya, pada 16 Dis 2014.

Sementara itu, Kamaruzzaman, bekas ketua pegawai kewangan, diidakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Gulam Rusol berhubung perkara sama di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM), yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah dipalsu atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA