KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengurus Inkubator Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Rabu atas pertuduhan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd Saiful Nizam, 40, yang sebelum ini bertugas di Besut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga paling rendah syarikat milik sekutunya.

Ia untuk mendapatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem pemotongan bagi tujuan mempelbagaikan produk hasilan kilang berjumlah RM17,000 pada Mac 2015.

BACA: Pecah amanah RM14,000: Bekas pengurus Mardi mengaku tidak bersalah

Bagi pertuduhan itu tertuduh  didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 jika sabit kesalahan boleh dihukum  penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap 1 hari bulan sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Asaari Salleh.