PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang bekas penternak lembu, membela diri atas pertuduhan membunuh jirannya di sebuah premis di Segamat, Johor, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong, membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar sebelum ini yang meminda pertuduhan membunuh dihadapi Shahril Tamsir, 50, kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut Sesyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Dalam keputusan sebulat suara, Hanipah berkata, terdapat merit dalam rayuan pihak pendakwaan dan hakim Mahkamah Tinggi itu telah terkilaf daripada fakta serta undang-undang, kerana tidak memanggil responden (Shahril) untuk pembelaan.

"Berdasarkan hujahan pihak pendakwaan, kami berpuas hati bahawa terdapat prima facie berhubung pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan.

"Hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya memanggil responden untuk membela diri. Oleh itu, keputusan hakim Mahkamah Tinggi itu diketepikan dan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Muar untuk pembelaan dipanggil," kata Hanipah.

Hanipah turut menetapkan 22 Feb ini, untuk pengurusan kes di hadapan hakim perbicaraan sama di Mahkamah Tinggi itu.

Beliau berkata, kes ini perlu diberi keutamaan memandangkan perbicaraan telah bermula pada 2018.

Shahril didakwa membunuh Ahmad Radzi Jamaludin, ketika itu berusia 40 tahun di kawasan perniagaan Jalan Ubi, Felda Chempedak, Labis di Segamat, Johor pada 7.30 pagi, 31 Ogos 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Bagaimanapun, pada 15 Dis 2020, Mahkamah Tinggi Muar menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas Shahril mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(a) kanun sama, dan dia diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 31 Ogos 2017.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah dan Dhiya Syazwani Mohd Akhir, manakala peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairulnadiah Hasni Yusoff mewakili Shahril. - BERNAMA