Bekas PTD, isteri tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur

Muhammad Hafizuddeain ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes pengubahan wang haram. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddiean Jantan, dan isterinya, Salwani Anuar, akan didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan pada Khamis berhubung kes pengubahan wang haram.
Muhammad Hafizuddiean tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.10 pagi manakala isterinya, Salwani tiba pada jam 8.20 pagi.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, Muhammad Hafizuddiean memakai baju hitam dilihat memasuki pekarangan mahkamah dengan diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala Salwani memakai baju hitam serta bertudung hitam hadir menaiki kerusi roda.
Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hafizuddeain akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi manakala Salwani di hadapan Hakim Rosli Ahmad, masing-masing pada jam 9 pagi.
Kedua-dua mereka akan didakwa secara berasingan dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menerusi Op Parasit, SPRM pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya, pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.
Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.
Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.
Sementara itu pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di TKAT dan Kementerian Pertahanan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


