KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk mengemukakan justifikasi kepada mahkamah berikutan isu pembekuan aset pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, tindakan pembekuan aset itu merupakan prosedur biasa yang dilakukan SRPM.

“SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

“Terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka berasa ada keperluan untuk berbuat demikian.

“SPRM bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Dakwaan seleweng dana: Aman Palestin beri SPRM tiga hari nyah beku akaun

Jongkong emas untuk tujuan pelaburan yang dibenarkan

Jelasnya lagi, tindakan membeku aset itu juga selaras dengan undang-undang sedia ada dan terpakai terhadap mana-mana siasatan sekiranya ia diperlukan.

“Tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang. 

"Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azam menegaskan, SPRM telah dipertanggungjawabkan dan memikul amanah untuk melakukan siasatan secara adil dan tegas berhubung apa jua isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, terutamanya kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana.

Aman Palestin pada Isnin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.

Peguam mewakili NGO itu, Muhammad Rafique Rashid Ali turut menyatakan, bakal mengambil tindakan undang-undang sekiranya SPRM gagal mematuhi tempoh yang telah diberikan.