KUALA LUMPUR:Sabah dan Sarawak masing-masing akan menerima perbelanjaan pembangunan RM5.1 bilion dan RM4.5 bilion bagi tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan itu antaranya adalah untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan.

Dalam usaha meringankan beban hidup rakyat, beliau berkata kerajaan akan menaikan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif, bagi Sabah dan Sarawak daripada RM150 juta kepada RM200 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming, termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu, antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak.

“Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati lebih 1.1 juta rakyat pada harga dikawal,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menerusi langkah bantuan kepada petani, peladang dan nelayan, beliau berkata lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi di Nabawan, Sabah dan Kanowit Sarawak, akan menikmati bantuan sejumlah RM570 juta subsidi harga padi, RM960 juta (subsidi dan insentif tanaman padi) termasuk RM40 juta subsidi baja padi bukit.

Bagi memperkasakan program pembangunan komuniti di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM41 juta diperuntukan bagi program ‘Native Customary Rights’ (NCR) di Sabah dan Sarawak. 

Menyatakan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, beliau berkata sejumlah RM 2.7 bilion disalurkan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikkan infrastruktur luar bandar meliputi projek jalan, bekalan air, elektrik, program bantuan rumah, pemasangan dan penyelenggaraan lampu.

Katanya kerajaan akan memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak bagi membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas, seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).