KUALA LUMPUR:Satu Jawatankuasa Khas dijangka akan dibentuk sekiranya persetujuan gagal dicapai oleh setiap kementerian pada perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah bagi menyelesaikan masalah berkaitan perkara terperinci di dalam setiap kementerian.

“Kami dapati bahawa pada (perbahasan) peringakat jawatankuasa, ia tidak begitu rumit.

“Mungkin akan timbul tentangan, tetapi jika kami lihat secara terperinci amalan sebelum ini, walaupun ada tentangan dan ada masalah yang berkaitan dengan perkara yang terperinci dalam setiap kementerian, maka perbincangan dan musyawarah itu diadakan.

“Jika masih tidak ada penyelesaian dan ketetapan dengan sesuatu perkara atau jumlah (peruntukan) yang ingin diluluskan, maka satu Jawatankuasa Khas akan dibentuk untuk mencapai kata sepakat bagi memastikan kelulusan (belanjawan) pada peringkat jawatankuasa itu boleh dilakukan,” kata Ahmad Martadha dalam temu bual bersama Buletin AWANI hari ini.

Katanya, Jawatankuasa Khas yang mungkin ditubuhkan itu akan membincangkan perbezaan pendapat yang timbul dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada perbahasan peringkat jawatankuasa sehingga mencapai kesepakatan dan persetujuan.

“Kami mengharapkan mana-mana Ahli Parlimen yang mempunyai masalah mengenai perincian bajet, maka mereka boleh menyelesaikan pada peringkat perbahasan.

"Dan pihak kerajaan akan mengambil kira pandangan tersebut dan mungkin akan memasukkan perkara yang tidak dipersetujui untuk mencapai kata sepakat. 

“Jadi, apabila undian itu diadakan pada bacaan kali ketiga, maka akan memudahkan (belanjawan) untuk diluluskan,” jelasnya. 

BACA: Belanjawan 2021: Perbahasan peringkat jawatankuasa dijangka 'panas'

BACA: Belanjawan 2021: Pembangkang perlu kemuka cadangan konstruktif, bukan bergantung undian belah bahagi

BACA: Kerajaan perlu perbaiki penyampaian Belanjawan 2021



Perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa dijadual bermula Isnin (30 November) selama 10 hari hingga 15 Disember.

Sebanyak 27 kementerian akan menggulung perbahasan dan persoalan yang dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen semasa sesi tersebut.

Antara isu panas yang dijangka menjadi pertikaian ialah peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenamakan semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), pengagihan peruntukan RM620 juta bagi penyelenggaraan 10,223 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dan peruntukan melawan pandemik COVID-19.

BACA: Jangan lihat J-KOM dari lensa politik lama - Penganalisis

Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Perbahasan peringkat jawatankuasa ini juga dijangka panas susulan kenyataan daripada pemimpin pembangkang yang dijangka tidak akan memberi laluan mudah untuk mencapai kelulusan Belanjawan 2021.

Belanjawan 2021 memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.