KUALA LUMPUR:Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan beberapa peruntukan di bawah Belanjawan 2021 yang beliau anggap, tidak membantu usaha Kerajaan menangani COVID-19.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Kerajaan sebenarnya tidak perlukan jumlah Belanjawan yang begitu besar iaitu RM322.5 bilion, melainkan ia benar-benar untuk mengatasi masalah sosial, ekonomi, dan membanteras pandemik itu.

Beliau berkata, ada perbelanjaan yang boleh ditangguhkan sementara, atau digunakan untuk COVID-19, dalam usaha menangani kemerosotan ekonomi.

“Umpamanya Kabinet terlalu besar. Ramai yang dilantik jadi Menteri, Timbalan Menteri, bertaraf Menteri tetapi mereka tidak dapat bekerja pun kerana wabak. Kita boleh kurangkan jumlah mereka tanpa jejaskan perjalanan pemerintahan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menyentuh mengenai peruntukan keseluruhan yang begitu besar untuk Belanjawan 2021, tetapi tidak dinyatakan sumber pendapatan untuk mencapai jumlah itu.

“Peruntukan untuk pelbagai jabatan ada yang dinaikkan sehingga 520%. Pembangunan pejabat boleh ditangguh 160 juta, untuk Bangunan Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), RM64.4 juta di seberang laut, dan RM231 juta untuk pejabat Kementerian Dalam Negeri,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan kenaikan peruntukan Jabatan Perdana Menteri kepada RM11.7 bilion, peruntukan Projek Khas RM1 bilion, dan RM125 juta untuk Kompleks Angkasapuri.

Mengenai cadangan pemotongan gaji Menteri sebanyak 30 peratus, Dr Mahathir berkata, beliau yakin mereka tidak akan kebuluran jika cadangan itu dilaksanakan.

"Dalam zaman COVID-19, saya tak fikir Menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30 peratus. Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi.

"Dan bagi mereka keluarga akan turut menderita. Mungkin tidak 30 peratus. Mungkin hanya 10 peratus," katanya lagi.

"Biasanya di penghujung ucapan belanjawan akan disebut cukai yang akan diperkenal untuk membiayai sebahagian daripada kos belanjawan. Tetapi kali ini tidak ada cukai baru yang akan dipikul oleh rakyat. Dalam masa wabak COVID-19 ekonomi sudah merosot teruk. Tentulah pendapatan Kerajaan juga merosot.

"Belanjawan ini tentulah alami defisit. Tetapi Kerajaan seolah tidak ambil berat defisit ini. Tak cukup duit, terpaksalah Kerajaan hutang. Jumlah hutang Kerajaan akan meningkat kepada RM1.3 trilion. Jikalau kita hutang untuk bayar hutang, ia tidak akan mengurang jumlah hutang," katanya lagi.