KUALA LUMPUR:Belanjawan 2021 disifatkan satu pengiktirafan baharu khususnya kepada pembangunan perusahaan sosial dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasakan kumpulan sasar.

Pengusaha Masala Wheels, Kuhan Pathy berkata selain bantuan dalam bentuk kewangan, peruntukan terhadap sektor tersebut mampu membantu meringankan beban golongan miskin bandar.

Jelas beliau, pembelian barangan dan perkhidmatan yang terlibat dengan perusahaan sosial secara langsung akan memanfaatkan komuniti tersebut.

“Contohnya, dalam Belanjawan 2021, ada satu sektor iaitu Penyampaian Perkhidmatan Alternatif. Kita lihat kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta kepada perusahaan sosial untuk pembangunan sektor itu.

“Sementara, RM20 juta lagi akan diperuntukkan kepada Program e-Perolehan Impak Kerajaan,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Kuhan berkata, bantuan yang disalurkan itu penting khususnya dalam kelangsungan pendapatan yang mapan.

“Kalau kita lihat, ada pelbagai bantuan yang diberikan. Pertama dari segi bantuan mikro kewangan, di mana contohnya Tekun – golongan bersasar mendapat bantuan kewangan mikro untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Selain itu, ada juga pembangunan kapasiti yang diberikan dengan penglibatan organisasi secara tanggungjawab sosial di mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan NGO menyokong inisiatif pemerkasaan komuniti,” jelasnya lagi.


Dalam masa yang sama, Kuhan mengakui, insentif Program Subsidi Upah yang diperkenalkan kerajaan turut membantu beliau mengekalkan pekerja.

Masala Wheels yang ditubuhkan pada 2015 merupakan perusahaan sosial yang menggunakan konsep inovasi sosial untuk menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan belia berisiko tinggi.

Setakat ini, lebih 100 belia berisiko tinggi telah dilatih, sementara 100 graduan diberikan pendedahan dalam aspek keusahawanan sosial.