KUALA LUMPUR: Kadar cukai Perusahaan Mikro, Kecil, Sederhana (PMKS) ke atas pendapatan bercukai bagi RM150,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengurangan itu bermula pada tahun taksiran 2023 dan dapat memberi penjimatan sehingga RM3,000 kepada setiap 150,000 pembayar cukai PMKS.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, negara sudah cukup berselirat dan terkenal dengan projek mega dan mercu tanda.


Begitupun, kali ini beliau mahu Malaysia terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah.

“Untuk memaknai hasrat ini, Kerajaan menyediakan RM50 juta bagi membina baharu dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan 15 kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

“Selain itu, sejumlah RM176 juta disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, DBKL, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

IKUTI INTIPATI BELANJAWAN 2023 DI SINI