KUCHING: Sarawak masih memerlukan jumlah peruntukan yang besar untuk pembangunan prasarana utiliti di luar bandar terutamanya bekalan air, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.

Kecewa dengan peruntukan yang dilihat tidak mencukupi tegasnya, ketika ini kadar liputan bekalan air di luar bandar masih pada tahap 67.2 peratus.

"Memandangkan kawasan Sarawak adalah luas dengan bentuk muka bumi yang mencabar, dianggarkan jumlah peruntukan yang diperlukan untuk mencapai liputan penuh bekalan air adalah sebanyak RM19 billion.      

“Oleh itu, jumlah peruntukan yang diumumkan untuk prasarana utiliti adalah tidak mencukupi untuk memenuhi hasrat Kerajaan Sarawak mencapai liputan penuh bekalan air menjelang 2030.

“Kita berharap peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada Sarawak,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pembentangan Belanjawan Madani 2023 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan pembangunan untuk Sarawak adalah sebanyak RM5.6 bilion.

Pada masa yang sama, hanya RM2.5 billion daripada jumlah keseluruhan RM12.1 billion untuk Sarawak dan Sabah adalah untuk projek jalan, lampu jalan serta utiliti; iaitu bekalan air dan elektrik di kedua-dua wilayah Sarawak dan Sabah.