KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperuntukan RM5.8 bilion bagi pembangunan negeri Sarawak, dan RM6.6 bilion lagi untuk pembangunan negeri Sabah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa beriltizam untuk menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963, dapat direalisasikan.

Selain itu beliau berkata, bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Perpaduan, kata Perdana Menteri lagi, telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta, berbanding RM16 juta bagi Sarawak, dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

“Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada penggal ini, bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

Selain itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

“Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030,” katanya lagi.

Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.

Selain itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan Negeri.