KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap peruntukan lebih tinggi diberikan kepada kementerian itu melalui Belanjawan 2024 bagi membolehkan lebih banyak inisiatif untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia termasuk usaha menaik taraf 436 kilinik-klinik kesihatan daif di seluruh negara dan membina 300 lagi klinik baharu di kawasan-kawasan terpilih.

"Kalau boleh kita nak peruntukan lebih daripada tahun ini yang berjumlah RM36.3 juta kerana kita hendak melaksanakan pelbagai perkara. (Kalau) Tidak silap ada tujuh keutamaan telah diberikan kepada Kementerian Kewangan untuk penelitian dalam belanjawan, termasuk usaha untuk meneruskan Skim Perubatan MADANI," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Belanjawan 2024 dibentang pada 13 Okt ini dijangka terus memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat, bantuan diteruskan serta ditambah baik, begitu juga pembangunan prasarana negara.

Sementara itu Dr Zaliha berkata Malaysia sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan, termasuklah Penyakit X yang disifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai penyakit berisiko menjadi pandemik.

"Semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York baru-baru ini, isu penyakit X ini tidak dibincangkan pun dalam kalangan menteri-menteri kesihatan yang hadir.

"Namun apa pun, kita sentiasa bersiap siaga atas apa sahaja kemungkinan dan di peringkat WHO pun, saya percaya mereka akan memberikan `alert' kepada negara-negar yang berkenaan, kalau ada," katanya.

Mengenai projek di HKL pula, Dr Zaliha berkata ia melibatkan Bangunan Blok B Institut Urologi dan Nefrologi yang akan mula beroperasi secara berperingkat awal bulan depan.

Beliau berkata apabila sudah beroperasi, ia akan memberikan penambahan 252 katil, yang dijangka mampu menampung keperluan semasa dan masa hadapan.

Bangunan yang turut dilengkapi dengan lima mesin Modular Operating Theater (OT) dan ruang sokongan itu disiapkan lebih awal dari tarikh siap yang ditetapkan dengan penjimatan kos sebanyak RM9 juta daripada RM171 juta keseluruhan kos.

-- BERNAMA