KUALA LUMPUR: Peruntukan kewangan bagi reformasi perundangan dan memperkasakan kehakiman sivil dan syariah menunjukkan Kerajaan Perpaduan komited dalam membela nasib rakyat untuk mendapatkan keadilan yang saksama, sekali gus mempertingkatkan kualiti badan kehakiman, kata pengamal undang-undang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI pada Jumaat lepas berkata sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi melancarkan urusan reformasi perundangan termasuk persiapan penyediaan Rang Undang-Undang Pelaksanaan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

Menteri Kewangan itu berkata bagi badan kehakiman, kerajaan memperuntukkan RM38 juta untuk meningkatkan produktiviti kehakiman negara yang mencakupi keutamaan membaik pulih prasarana dan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mahkamah yang usang dan rosak.

Peruntukan itu juga termasuk RM20 juta bagi memperkasakan Akademi Kehakiman Malaysia dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan.

Peguam Rahmat Hadzlan berkata peruntukan kewangan bagi reformasi perundangan ialah langkah kerajaan dalam menambah baik sistem perundangan dan kehakiman negara.

"Khususnya dari aspek matlamat hukuman dalam memberikan peluang kepada pesalah untuk dipulihkan tanpa mengetepikan aspek pencegahan dan keadilan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Peguam Datuk N. Sivananthan pula berkata peruntukan berkenaan mencerminkan Kerajaan Perpaduan yang progresif serta menitikberatkan ciri-ciri kemanusiaan.

"Peruntukan untuk badan kehakiman juga usaha kerajaan bagi memajukan sistem perundangan di negara ini dan mempertingkatkan lagi kualiti hakim yang dilantik," katanya.

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan (BPSWP) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata peruntukan kepada akademi itu diharap dapat menjadi wadah kepada badan kehakiman untuk melatih hakim-hakim berteraskan kualiti penghakiman yang tinggi bagi melaksanakan keadilan.

"Kami mengharapkan dana diperuntukkan kepada BPSWP juga untuk melatih peguam syarie. BPSWP baru ditubuhkan kerajaan tahun lepas," katanya.

Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 juga berkata susulan kenaikan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh kepada RM50,000, bilangan kes sivil dan syariah yang mendapat bantuan guaman telah meningkat kepada 8,500 kes, justeru pada tahun hadapan, fungsi Jabatan Bantuan Guaman akan diperkasakan dalam membela nasib rakyat susah untuk mendapatkan keadilan.

Berhubung perkara itu, Zainul Rijal berkata dengan pemerkasaan fungsi Jabatan Bantuan Guaman, lebih ramai yang akan mendapat khidmat jabatan itu dan beliau turut mencadangkan jabatan berkenaan menaikkan kadar bayaran panel peguam dan melantik lebih ramai lagi panel peguam.

Turut senada, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang yang berkata peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan kehakiman syariah di negara ini.

"Hasrat untuk mewujudkan akademi latihan syariah telah lama diusahakan. Akademi latihan syariah ini diharapkan bukan sahaja bermanfaat untuk latihan kehakiman, malah ia juga boleh dimanfaatkan oleh peguam-peguam syarie bagi latihan kepeguaman syarie," katanya.

Beliau juga berpandangan dana untuk bantuan guaman syarie wajar diperluas kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan seperti PGSM yang menyediakan khidmat profesional Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) kepada golongan B40 di seluruh negara.

"Sejak dimulakan pada Julai 2022, BAGUS telah menerima lebih 1,000 permohonan dan lebih 400 kes telah dibantu oleh lebih 390 Panel Peguam Syarie BAGUS di seluruh negara.

"PGSM tidak akan dapat meneruskan program bantuan BAGUS ini sekiranya tiada dana disalurkan oleh kerajaan, badan korporat dan sebagainya," katanya dan menambah inisiatif kerajaan itu merupakan langkah yang baik.

Peguam Siti Nor Syahidah Ismail pula berkata peruntukan RM20 juta bagi memperkasakan dua akademi berkenaan adalah tepat pada masanya selaras dengan perkembangan negara yang berada dalam era digital.

-- BERNAMA