MALAYSIA
Belanjawan 2026 tumpu pada pelaburan, automasi, pekerjaan lebih baik - Liew

Liew berkata matlamatnya ialah mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang dipacu teknologi. - Gambar fail/Bernama
ISKANDAR PUTERI: Belanjawan 2026 dijangka merangkumi dasar yang bertujuan meningkatkan aliran masuk pelaburan, menaik taraf automasi dan pendigitalan serta menambah jumlah pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, kementerian telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan dan keputusan muktamad akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau membentangkan belanjawan pada 10 Oktober.
"Hala tuju kerajaan adalah jelas. Kami mahu mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dan mendorong industri ke arah penggunaan automasi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang lebih luas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Good Job Career Fair di University of Reading, EduCity, di sini, pada Sabtu.
Liew berkata, matlamatnya ialah mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang dipacu teknologi."Kita mahu beralih daripada dikenali sebagai negara perdagangan kepada negara yang mencipta dan berinovasi. Peralihan perlulah daripada 'Made in Malaysia' kepada 'Made by Malaysia', dengan lebih banyak harta intelek dan inovasi yang lahir dari sini," katanya.
Sementara itu, Liew berkata, walaupun berdepan cabaran ekonomi global, Malaysia berjaya melepasi RM1 trilion untuk eksport.
Katanya, ini sebahagiannya disebabkan syarikat berpindah ke Malaysia di bawah strategi China Plus One sejak dua hingga tiga tahun lepas dan kebanyakannya kini mengeluarkan barangan di sini, yang telah menyumbang kepada eksport Malaysia.
Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia dalam tempoh lapan bulan pertama 2025 meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM1.98 trilion.
Eksport meningkat 3.9 peratus kepada RM1.03 trilion manakala import naik 3.6 peratus kepada RM945.62 bilion.
Katanya, eksport melebihi RM1 trilion pada Ogos, sebulan lebih awal berbanding 2024, disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan optikal dan saintifik serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami