Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Pencarian juruterbang jet pejuang yang hilang ujian terbesar buat Amerika

A U.S. Air Force F-15E Strike Eagle aircraft takes off for a mission supporting Operation Epic Fury during the Iran war at an undisclosed location, March 9, 2026. (U.S. Air Force via Reuters)
Insiden penembakan jatuh sebuah pesawat F-15 Eagle pada Jumaat dilihat sebagai satu tamparan besar kepada Washington. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), AS Donald Trump sebelum ini pernah berkata, Iran tidak mampu “melakukan apa-apa” terhadap pesawat Amerika yang beroperasi di ruang udaranya, sambil menegaskan sistem pertahanan udara Iran telah dilemahkan dengan ketara.

Setiausaha Pertahanannya, Pete Hegseth turut mendakwa, Amerika Syarikat telah mencapai “penguasaan ruang udara” ke atas Iran.

Advertisement

Justeru, insiden penembakan jatuh sebuah pesawat F-15 Eagle pada Jumaat dilihat sebagai satu tamparan besar kepada Washington.

Ia menunjukkan bahawa Iran masih mampu mempertahankan ruang udaranya, walaupun pada tahap yang terhad.

Risiko keadaan ini boleh meningkat lagi, bergantung kepada siapa yang berjaya menangkap atau menyelamatkan pegawai sistem persenjataan (weapons systems officer) yang kini dilaporkan hilang.

BBC difahamkan, pasukan keselamatan negara Presiden Trump menghabiskan sebahagian besar hari Khamis di Sayap Barat memberi taklimat kepadanya mengenai misi mencari dan menyelamat yang turut diserang tembakan Iran. 

Media AS melaporkan, kru pesawat tersebut cedera, namun, berjaya meloloskan diri keluar dari ruang udara Iran.

Secara terbuka, Presiden cuba meremehkan insiden ini dan mencadangkan ia tidak akan menjejaskan rundingan dengan Tehran bagi menamatkan perang yang bermula akibat serangan AS dan Israel pada 28 Februari. 

Namun secara tertutup, isu ini berkemungkinan menjadi kebimbangan besar - terutamanya apabila Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dilaporkan melancarkan operasi pencarian mereka sendiri terhadap warga Amerika yang hilang itu, dengan menggunakan tentera dan penduduk tempatan, serta menawarkan ganjaran sekitar AS$66,000 (RM266,000) untuk menangkapnya hidup-hidup.

Sekiranya warga Amerika yang hilang itu ditemui oleh tentera Iran, implikasinya boleh menjadi sangat besar. 

Sekurang-kurangnya, ia merupakan satu aib politik bagi Washington.

Anggota udara AS tersebut berpotensi dipamerkan sebagai alat propaganda, sekali gus mengingatkan kembali tragedi krisis tebusan Iran pada tahun 1979, apabila diplomat Amerika ditahan selama 444 hari.

Selepas percubaan operasi ketenteraan menyelamat yang gagal, AS akhirnya membebaskan tebusan dengan menarik balik beberapa sekatan dan mencairkan hampir AS$8 bilion aset Iran. 

Peristiwa itu meninggalkan parut politik yang mendalam di Amerika Syarikat.

Pentadbiran-pentadbiran selepas itu turut berusaha keras untuk membebaskan rakyat Amerika yang ditahan, kadangkala melalui langkah-langkah yang kontroversi.

Sebagai contoh, pada 2014, pentadbiran Presiden Barack Obama menukar lima tahanan Taliban yang ditahan di kem Guantanamo Bay dengan Bowe Bergdahl, seorang askar Tentera Darat AS yang ditawan Taliban di Afghanistan pada 2009.

Pengkritik berpendapat pertukaran tersebut menggalakkan penahanan tebusan pada masa depan.

Sejarah ini menimbulkan persoalan sukar buat White House ketika ini.

Penangkapan anggota perkhidmatan AS boleh meningkatkan tekanan ke atas Presiden Trump untuk bertindak tegas dan meningkatkan tindak balas ketenteraan, atau sebaliknya membuka ruang untuk menghentikan operasi sementara dan menjalankan usaha diplomatik secara sulit bagi memastikan kepulangan anggota udara tersebut.

Jika warga Amerika itu ditangkap oleh Iran dan digunakan sebagai bahan tawar-menawar, ia akan menjadi ujian besar kepada Washington dalam konflik yang sudah sedia bergolak ini.

Buat masa ini, apa yang sedang berlaku ialah perlumbaan berisiko tinggi di darat antara dua musuh untuk mencarinya terlebih dahulu.

Pada masa sama, retak-retak perpecahan dalam kalangan ahli-ahli perundangan di Washington mula kelihatan. 

Ahli Kongres Republikan, Nancy Mace berkata, “sudah lama tiba masanya kita membawa pulang tentera”, manakala Senator Demokrat Tim Kaine menggesa Iran agar melayan mana-mana anggota udara yang ditangkap mengikut undang-undang antarabangsa.

Kebimbangan semakin meningkat mengenai risiko terhadap anggota tentera AS dalam konflik ini, khususnya dengan perbincangan kemungkinan pencerobohan darat.

Merentasi spektrum politik, terdapat keengganan besar terhadap satu lagi “perang tanpa pengakhiran”, apatah lagi korban rakyat Amerika.

Pada Sabtu, Presiden Trump mengulangi tarikh akhir untuk Iran bersetuju dengan perjanjian dan membuka semula Selat Hormuz selewat-lewatnya Isnin, 6 April, atau berdepan “neraka” termasuk serangan ke atas infrastruktur tenaga negara itu. 

Tarikh akhir tersebut telah beberapa kali berubah, selari dengan dakwaan Trump bahawa rundingan yang sedang berlangsung adalah “sangat baik” dan “produktif” - dakwaan yang dinafikan oleh Tehran.

Dengan janji serangan AS selanjutnya dalam beberapa minggu akan datang, penempatan ketenteraan AS yang semakin meningkat di Teluk, serta amaran Trump tentang kemungkinan korban tambahan, petanda semakin jelas bahawa peningkatan konflik ini sudah pun bermula. - Agensi

Must Watch Video