Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Belanjawan 2027: Gaji minimum naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini - Foto BERNAMA
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027, memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
  • Gaji minimum RM2,500 sebulan akan diperkenalkan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, sebagai langkah menangani isu upah tidak setimpal kelayakan.
  • GLIC dan GLC menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan, memberi manfaat kepada 230,000 pekerja, dan majikan swasta digalakkan ikut langkah ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, yang dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup susulan pendapatan rakyat yang tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.

"Kadar ini berkuat kuasa mulai Jun 2027. PMKS dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang untuk penyesuaian model perniagaan. Ini bermakna, lebih empat juta pekerja tertakluk kepada kadar gaji minimum baharu.

"Kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, sementara upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja baharu dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.

Katanya, langkah itu bertujuan menangani isu upah pekerja mahir yang masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka, memandangkan kadar gaji minimum sedia ada hanya menetapkan paras pendapatan terendah pekerja.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menaikkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.

Anwar turut menyeru majikan sektor swasta supaya mengikuti langkah kerajaan, GLIC dan GLC dalam menawarkan kadar upah yang lebih wajar kepada pekerja.

Beliau berkata beberapa majikan dalam sektor utama, termasuk perbankan serta minyak dan gas, juga telah menetapkan kadar gaji yang lebih baik.

"Bagi mengekang penggajian pekerja asing tanpa izin, kerajaan menetapkan syarikat selain PMKS hanya boleh menuntut potongan cukai bagi perbelanjaan gaji sekiranya bayaran dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement