KUALA LUMPUR: Seorang warga Filipina disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan 521 kilogram (kg) methamphetamine yang dirampas daripada sebuah jet persendirian di Laos pada 1 Oktober lalu.
Individu itu dipercayai menempah penerbangan bernilai AS$49,500 (kira-kira RM202,000) pada 23 September lalu, dengan muatan diisytiharkan sebagai produk vape.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penerbangan berkenaan dijadualkan membawa barangan dari Laos ke Manila, Filipina.
“Kita masih lagi siasat sama ada mana-mana pemilik syarikat ini terlibat dalam sindiket ini ataupun mereka juga telah digunakan oleh sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Hussein, tempahan itu dibuat menerusi sebuah syarikat penerbangan persendirian yang ditubuhkan empat juruterbang, masing-masing dua warga Malaysia dan Singapura.
Syarikat berkenaan mula beroperasi pada Julai lalu dan menerima sembilan tempahan penerbangan, termasuk penerbangan yang dikaitkan dengan rampasan dadah di Laos.
Hussein berkata, maklumat mengenai barangan yang diisytiharkan sebagai produk vape diperoleh melalui manifes penerbangan di Subang dan pihak berkuasa Laos.
Siasatan awal mendapati perkhidmatan jet itu dipercayai digunakan untuk menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.
Polis juga sudah berkongsi maklumat dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi mengesan individu yang dipercayai membuat tempahan penerbangan berkenaan.
Menurut Hussein, empat individu termasuk seorang pemilik syarikat yang ditahan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada Rabu lalu sudah dibebaskan selepas keterangan direkodkan.
Polis turut menunggu kebenaran pihak berkuasa Laos untuk bertemu rakyat Malaysia yang ditahan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, pihak berkuasa Laos merampas 521 kg methamphetamine dalam 500 bungkusan daripada sebuah jet jenis Learjet di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu.
Pesawat itu berlepas dari Subang tanpa membawa dadah sebelum muatan berkenaan dipercayai dimasukkan di Laos untuk dihantar ke Manila.
Seramai 13 individu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, seorang pelancong asing serta kakitangan syarikat dan lapangan terbang ditahan pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan.