MELAKA: Golongan belia khususnya mereka yang tidak mahu menyambung pelajaran di peringkat universiti, disaran mengikuti program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan di kolej komuniti dan institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pendekatan itu, membantu golongan belia mendapatkan sijil kemahiran dalam bidang yang mereka minati, sekali gus membantu mereka mempunyai kemahiran diiktiraf serta dapat meningkatkan taraf ekonomi, khususnya menerusi bidang keusahawanan.

"Kita mempunyai pelbagai kursus yang ditawarkan di bawah PSH, terutama melibatkan kursus jangka pendek, dan Kementerian Pendidikan menerusi Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sedang giat memperluaskan serta mempromosikan program ini.

"Fokus kita ialah golongan anak muda... sekarang ini kita agak gusar kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mahu melanjutkan pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya kepada pemberita di sini semalam

Beliau berkata demikian selepas Program Jejak TVET MADANI @ Polycc dan Sesi Lawatan Kerja ke Kolej Komuniti Bukit Beruang, di sini.

Mustapha berkata program PSH berbentuk kursus jangka pendek yang ditawarkan pada harga minima, khususnya di rangkaian kolej komuniti seluruh negara, bertujuan memastikan golongan belia yang tidak mahu menyambung pelajaran tidak tercicir.

"Seperti yang kita sedia maklum, industri gig di negara ini sentiasa berubah, yang tidak berubah ialah sijil kemahiran yang diperoleh.

"Dengan sijil yang diperoleh, golongan belia mudah mendapat pekerjaan serta membuka perniagaan dalam bidang yang diikuti," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Pusat Inkubator Lab X Coffee Lounge yang diusahakan alumni pelajar kolej komuniti itu.

-- BERNAMA