KUALA LUMPUR: Penasihat Belia kepada Pesuruhjaya Kesatuan Eropah yang baharu, Qyira Yusri mempunyai misi untuk meningkatkan lagi penglibatan anak muda dalam penggubalan dasar berkaitan golongan berkenaan.

Namun, sebelum terus bergerak ke hadapan, pengasas bersama Undi18 itu berkata, beliau mahu menyelami suara anak muda dari pelbagai latar belakang, tanpa mengira ideologi, agama, dan bangsa.

Jelasnya lagi, langkah itu amat penting, kerana tidak semua anak muda mempunyai idea atau buah fikiran yang sama terhadap sesuatu isu semasa.

“Pertama sekali saya rasa penting untuk mengambil kira suara anak muda yang berlainan. Kerana anak muda bukannya berfikir dengan cara sama, tidak undi cara sama, tidak mengalami cara yang sama.

“Jadi saya rasa benda pertama saya buat, bagaimana ingin memahami semua masalah, atau isu yang anak muda prihatin, dan bagaimana boleh mewujudkan satu 'framework' yang boleh merangkumi semua isu atau masalah yang dihadapi anak muda. Itu cabaran paling besar,” katanya lagi.

Semalam media melaporkan, Qyira telah dilantik sebagai Penasihat Khas Belia kepada Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) Jutta Urpilainen.

BACA: Pengasas Bersama Undi18, Qyira Yusri dilantik Penasihat Khas Belia kepada Pesuruhjaya EU

Beliau menggantikan Bitania Lulu Berhanu dari Ethopia, yang menjadi belia pertama memegang jawatan itu pada tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Eropah berkata, Qyira akan membantu membentuk dasar kerjasama antarabangsa EU khususnya dalam memberi nasihat tentang pemerkasaan belia dan penyertaan politik.

Mengulas lanjut, Qyira berpandangan, terdapat dua perkara yang paling penting untuk diperjuangkan tentang golongan belia, khususnya di negara ini.

“Dalam sistem politik sedia ada, ahli politik atau wakil rakyat memainkan peranan yang sangat besar untuk membawa suara rakyat, gubal dasar beri impak, negatif atau positif. Anak muda tak boleh lihat saja, tak undi, tak sertai parti politik, tidak bersuara.

“Isu kedua, mereka harus ambil tahu dan tidak boleh ignore isu korupsi atau rasuah. Banyak masalah sosial, root problem adalah rasuah, tidak lihat gejala rasuah sebagai satu barrier kepada negara kita untuk maju, maka sangat susah untuk kita bendung gejala ini,” tegasnya lagi.

Qyira berkata, Undi18 sendiri sebelum ini telah bergerak aktif dalam kempen meningkatkan kesedaran anak muda mengenai keperluan kritikal untuk membendung gejala rasuah dari peringkat awal lagi.