KUALA LUMPUR: Peguam pemerhati dalam kes mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella memberitahu bahawa, remaja itu masih berada dalam keadaan trauma walaupun hampir tiga tahun kejadian itu berlalu.

Peguam, Khairul Anwar Rahmat berkata, Bella masih terkesan dan belum boleh menerima kesakitan dialami.

“Sebahagian daripada kecederaan yang dialami Bella telah sembuh namun dia tetap memerlukan rawatan susulan terutamanya kecederaan melibatkan kulit.

“Bak kata orang, sakit boleh hilang tetapi parut tetap ada,” kata peguam yang dilantik Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika sidang media.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil ujian klinikal oleh pakar perubahan, Bella kini dilaporkan telah mencecah usia 17 tahun.

Susulan itu beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memohon supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan kad pengenalan kepada remaja itu.

Menurutnya, sehingga ke hari ini, mereka belum dimaklum mengenai status permohonan terbabit.

Pada pagi Khamis, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun berhubung kes mengabai dan menganiaya Bella.

Hakim, Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun, 32, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen di sini, mendapati wanita itu bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Bagi kesalahan pertama, mengabaikan Bella, dia dihukum penjara 10 tahun sementara kes menganiaya, 12 tahun bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum itu.

Hakim, Izralizam Sanusi turut memerintah tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik dalam tempoh lima tahun dengan seorang penjamin termasuk cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Dia juga perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.

Siti Bainun telah dibawa ke Penjara Kajang, selepas mahkamah menolak permohonannya, untuk menangguhkan hukuman penjara itu.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun, telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.

Pada 25 November tahun sama, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu, di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa.

Kes yang mengejutkan negara itu mendapat perhatian sebahagian besar masyarakat termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib kanak-kanak seperti Bella.

Pada prosiding hujahan yang berlangsung pada 7 Mac lalu, peguam Haijan Omar, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan hadir bagi mewakili Siti Bainun selaku perayu.

Sementara pihak pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin pula sebagai responden. - Sinar Harian