NATIONAL
Belon tersekat dalam saluran pernafasan, ibu hampir hilang anak

Uwais kini stabil tetapi masih menerima bantuan pernafasan dan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). - Gambar/ Facebook Nurul Huda Zulkhairi.
SHAH ALAM: Gara-gara sebiji belon yang belum ditiup tersekat dalam saluran pernafasan hingga menyebabkan jantung terhenti seketika, seorang ibu hampir kehilangan anak.
Ringkasan AI
- Seorang kanak-kanak, Uwais Al-Fateh, hampir maut apabila sebiji belon yang belum ditiup tersekat di saluran pernafasannya semasa bermain, menyebabkan jantungnya terhenti seketika.
- Suami Nurul Huda dan rakannya cuba melakukan CPR, namun hanya selepas tiba di hospital, doktor berjaya mengesan dan mengeluarkan belon tersebut semasa proses intubasi, lalu menyelamatkan nyawa Uwais.
- Uwais kini stabil tetapi masih menerima bantuan pernafasan dan rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), dengan kesan pendarahan pada paru-paru dipercayai akibat CPR.
“Sebelum kejadian, Uwais Al-Fateh sempat duduk di meja saya sambil minum air, kemudian berlalu pergi dan sambung bermain lari-lari di dalam rumah.
“Adik ipar (Zahidah) saya ada maklum ‘Uwais macam semput’, suami saya pun ambil pam memandangkan Uwais selalu kena serangan asma dahulu. Tiba-tiba keadaan kembali tegang apabila adik ipar (Nabil) berlari bawa anak saya kepada suami dengan keadaannya yang biru ketika itu. Jantung dah berhenti.
“Suami dan kawannya buat beberapa prosedur, mereka ingat anak saya mungkin tersedak makanan. Namun, setelah cuba teknik pertolongan cemas (CPR) untuk keluarkan makanan masih gagal. Mereka terus ke hospital,” katanya pada Khamis.
Nurul Huda memaklumkan, peluang untuk Uwais bernyawa semula mungkin 50-50 disebabkan denyutan jantung sudah berhenti.
Setibanya di hospital, wanita tersebut memberitahu bahawa doktor yang sedang bertungkus-lumus menyelamatkan anaknya ternampak belon di dalam saluran pernafasan ketika ingin menjalani proses intubasi.
“Doktor cepat-cepat keluarkan belon tersebut dan terus lakukan CPR. Alhamdulillah nyawa anak saya ALLAH SWT pulangkan kembali!
“Terima kasih kepada pasukan Unit Kecemasan Hospital Kulim, Kedah yang begitu pantas rawat anak saya, begitu juga Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah.
“Segalanya berlaku begitu pantas, rupa-rupanya Uwais bergurau dengan kawan baiknya, memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari-lari dan mungkin tersedak lalu tercekik,” ujarnya lagi.
Nurul Huda menerusi hantaran terbaharunya memberitahu, tekanan darah, nadi dan paras oksigen Uwais stabil, namun masih dalam fasa merehatkan otak.
Jelasnya, Uwais juga masih menerima bantuan pernafasan dan ditambah dua beg darah selain terdapat kesan pendarahan pada paru-paru yang berkemungkinan kesan daripada teknik CPR. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami