KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan untuk meminta dividen tambahan daripada Petronas sebagai satu cara kerajaan menampung subsidi belum dibincangkan buat masa kini, kata Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Menteri Kewangan, setakat ini pendapatan negara terutamanya daripada komoditi masih mencukupi untuk menampung subsidi sekitar RM70 bilion setahun.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan harga minyak kerana ia merupakan fenomena yang melanda bukan sahaja malaysia, tetapi juga seluruh dunia.

"Kita akan melihat semua, kalau dari segi hasil negara, kita meningkat juga. Hasil kita pun bergantung kepada harga komoditi dan syarikat seperti Petronas pun umumkan peruntukan kewangan lebih kuat.

“Sama ada kita akan meminta lebih dividen dari Petronas itu belum lagi dibincangkan. Tapi Alhamdulillah hasil kerajaan meningkat, walaupun tak sebanyak subsidi, jadi kita kena harus terus pantau apa yang berlaku kerana ini fenomena di peringkat global,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas selesai berucap merasmikan Rangka Kerja dan Sasaran Kelestarian Khazanah di sini, hari ini.

Biarpun jumlah subsidi terutamanya subsidi minyak agak tinggi sehingga mencecah RM5 bilion pada bulan lepas, namun, kerajaan, kata Tengku Zafrul, masih mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung subsidi tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan terus mencari jalan untuk melihat cara terbaik bagi menyalurkan subsidi kepada golongan yang betul-betul memerlukan.

"Saya pernah menyebut sebelum ini, kerajaan pun dah sebut, bahawa kalau kita lihat setiap RM1 subsidi kepada rakyat Malaysia, RM0.53 pergi ke golongan T20  atau 20 peratus golongan teratas.

“Kalau unjuran subsidi RM30 bilion, RM15 bilion telah digunakan, diperuntukkan kepada golongan atasan, di mana peruntukan itu lebih baik kalau kita berikan kepada mereka yang memerlukan.

“Itu jangkaan sederhana panjang, tapi pada masa ini kerajaan akan terus beri peruntukan subsidi. Kita masih lagi mampu untuk membantu rakyat kita yang dapat subsidi,” katanya lagi.

Terdahulu, sewaktu berucap merasmikan rangka kerja berkenaan, Tengku Zafrul berkata, sudah tiba masanya untuk semua pihak melakukan yang terbaik dalam melaksanakan agenda persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan sendiri mengiktiraf kepentingan ESG, dan telah meletakkan beberapa sasaran penting dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mengukuhkan pembangunan sosio-ekonomi negara dengan kemampanan jangka panjang.

Dari segi aspirasi sosial, Tengku Zafrul berkata, RMK12 telah menetapkan sasaran agar pendapatan isi rumah dapat mencapai RM10,065 sebulan serta merendahkan jurang pendapatan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, menjelang 2025.

Beliau berkata, secara kolektifnya, ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong aspirasi ESG bagi jangka masa panjang, serta meningkatkan keadaan alam sekitar dan sosio-ekonomi untuk 33 juta rakyat Malaysia.